Hiasan tanglung juga untuk pertandingan kaligrafi, kata PIBG


Mohd Farhan Darwis

SMK Pusat Bandar Puchong 1 jadi tumpuan kerana isu tanglung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Januari, 2020.

HIASAN tanglung dan sambutan Tahun Baru Cina di Sekolah Menengah Pusat Bandar Puchong 1 (SMKPBP1) bukan sahaja untuk perayaan itu tetapi juga bagi pertandingan kaligrafi peringkat Selangor yang akan berlangsung pada Sabtu ini, kata Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kuan Chee Heng.

Katanya, perkara itu baru malah sudah dibuat masuk tahun ke-12.

Jelas beliau, dalam tempoh itu sekolah berkenaan menganjurkan program Jalinan Kasih bagi meraikan tiga perayaan utama di negara ini iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, dan Deepavali.

“Ada cubaan kaitkan dengan agama, sedangkan Jabatan Pendidikan Selangor sudah luluskan pertandingan kaligrafi.

“Kita (pihak sekolah) nak buat peringkat daerah tapi Jabatan Pendidikan Negeri minta kita buat untuk peringkat negeri Selangor, kita buat cantik-cantiklah sebagai tuan rumah,” katanya, ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Sekolah itu semalam mendapat dukungan Jemaah Menteri apabila Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai lawatan beberapa orang menteri dan exco kerajaan Selangor.

Menurut Wan Azizah, tiada salahnya untuk sekolah itu memasang hiasan dan tanglung untuk sambutan Tahun Baru Cina.

“Amalan menggantung tanglung ini perkara biasa. Jadi jangan jadikan isu yang boleh pecah-belahkan keharmonian. Kita ada banyak persamaan,” katanya.

Sekolah itu jadi perhatian sejak beberapa hari lalu selepas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengugut akan melaporkan kepada pihak berkuasa hiasan “agama” sambutan Tahun Baru Cina, yang katanya melanggar perlembagaan.

Beliau mendakwa ibu bapa beragama Islam mengadu tidak selesa dengan hiasan itu yang mereka anggap keterlaluan serta dakyah menyebarkan agama lain dalam kalangan pelajar beragama Islam.

“Ada juga ibu bapa yang membayangkan keadaan sekolah yang seolah-olah telah dihias seumpama gedung perniagaan milik China dan terdapat unsur-unsur keagamaan selain agama Islam yang telah mendatangkan perasaan tidak aman dan damai di kalangan pelajar beragama Islam dan bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya, dalam surat yang dimuat naik di Twitter.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama beberapa pemimpinan Pakatan Harapan melawat sekolah itu untuk memasang semula tanglung itu semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Januari, 2020.

Surat itu ditujukan kepada pengetua sekolah Rohani Mohd Noor.

Perkara 3(1) menetapkan “Islam sebagai agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Semalam, pihak sekolah memutuskan menurunkan hiasan tanglung susulan tekanan yang diterimanya tetapi dinaikkan semula menjelang lawatan Wan Azizah dan rombongannya.

Menurut Kuan, tanglung itu diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud tahun lalu sempena sambutan kebesaran komuniti Cina.

“Cadangan saya jangan layan orang merepek, biar dia melalak bukit. Kalau nak buat apa-apa biar dia datang sekolah,” katanya.

“Saya akan buat yang terbaik untuk sekolah. Dia (Azam) wakili diri dia sahaja bukan semua Melayu. Dia nak cari publisiti murahan. 

“Sudah 11 tahun kita buat, tanglung diberikan Dr Siti Mariah tahun lepas, orang bagi kita gantung.”

Beliau yang lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang” berkata, tahun baru Cina bukan sambutan keagamaan, sebaliknya sambutan kebudayaan meraikan kedatangan tahun baru mengikut kalendar komuniti Tionghua itu.

“Kalau sambutan Hari Raya Puasa saya buat lagi gila. Saya letak khemah. Kalau Deepavali kita buat kollam juga. 

“Dia ini sengaja nak cari pasal. Kita tak perlu layan. Orang ini nak cari publisiti murahan. Tiada unsur yang benar dalam kenyataannya itu,” kata Kuan.

Beliau juga memberi jaminan kepada ibu bapa, hiasan  itu tidak melibatkan unsur keagamaan dan bukan cubaan mempromosikan agama bukan Islam kepada pelajarnya. 

“Itu hanya dekorasi untuk sambutan tahun baru Cina.

“Janganlah kata kita nak sebar agama bukan Islam, dalam kenyataan itu niat dia jahat, kata sekolah nak promosi agama bukan Islam,” katanya.

Perayaan Tahun Baharu Cina adalah antara salah satu perayaan yang diraikan sekolah itu yang menyambut semua perayaan masyarakat pelbagai kaum Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Januari, 2020.

Beliau turut menggesa pihak polis menyiasat Azam.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan dijalankan ke atas Khairul Azam kerana suratnya mengandungi unsur ugutan dan menghasut.

“Saya sudah mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas penulis surat tersebut,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Sementara itu, menurut Kuan, pihaknya turut menyokong usaha pihak sekolah memupuk perpaduan antara kaum di sekolah kerana murid sekolah berkenaan terdiri daripada pelbagai kaum.

“Ini sekolah contoh, akademik dan kokurikulum kita cemerlang. Ini sekolah pilihan di Puchong. Ini mungkin usaha untuk jahanamkan sekolah.

“Guru dan murid kena bersatu, jangan biar pihak ketiga jahanamkan sekolah. Kita kena utamakan pendidikan anak-anak kita.

“Buang masa cerita ini, baik kita cerita benda lain,” tambah Kuan lagi. – 9 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen