Thailand giat jejaki 18 tahanan Rohingya lari dari depoh


Ketua Polis Kawalan Sempadan 437 Sadao Kapt Pol Suriwong Somsong berkata 18 tahanan Rohingya itu ditahan ketika cuba memasuki Malaysia dalam satu operasi pada Julai tahun lepas. – Gambar EPA, 8 Januari, 2020.

PIHAK Berkuasa Thailand sedang giat menjejaki 18 tahanan Rohingya daripada Myanmar yang melarikan diri daripada sebuah depoh di Sadao di Songkhla, awal pagi ini.

Mereka ditahan ketika cuba memasuki Malaysia dalam satu operasi pada Julai tahun lepas.

Ketua Polis Kawalan Sempadan 437 Sadao Kapt Pol Suriwong Somsong berkata 19 tahanan Rohingya melarikan diri daripada depoh itu dalam kejadian kira-kira 4 pagi (waktu tempatan).

Seorang daripada mereka patah kaki dan berjaya ditahan semula ketika bersembunyi di sebuah kampung berhampiran dengan depoh tahanan tersebut, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

“Kesemua suspek yang ditempatkan di tingkat tiga depoh tahanan tersebut dipercayai melarikan diri dengan memotong jeriji besi tingkap dan menggunakan selimut yang diikat dan disambung untuk melarikan diri menerusi tingkap. Kami percaya kesemua suspek masih berada dalam Thailand,” katanya.

Suriwong berkata operasi menjejaki kesemua mereka dipergiat khususnya di kawasan hutan dan kebun getah di sempadan Thailand-Malaysia.

“Siasatan sedang dijalankan sama ada mereka dibantu rangkaian pemerdagangan manusia untuk melarikan diri,” katanya. – Bernama, 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen