26 maut loji jana kuasa arang batu di India meletup


Beberapa mangsa letupan Loji Kuasa Tenaga Nasional di Unchahar, daerah Raebareli yang berlaku pada Rabu, diusung keluar untuk dibawa ke hospital. Ketika kejadian, 200 kakitangan sedang bertugas. – Gambar EPA, 2 November, 2017.

JUMLAH kematian akibat insiden letupan dandang sebuah loji jana kuasa arang batu di Uttar Pradesh, India, meningkat kepada 26 orang, lapor agensi berita China Xinhua pada Khamis.

“Sementara lebih 100 orang mengalami kecederaan dan dirawat di beberapa buah hospital. Jumlah korban mungkin meningkat memandangkan ramai mangsa yang cedera dilaporkan parah,” kata Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Uttar Pradesh, Arvind Kumar pada sidang media di Lucknow.

Letupan berlaku di Loji Kuasa Tenaga Nasional (NTPC) di Unchahar, daerah Raebareli pada Rabu, ketika 200 kakitangan sedang bertugas.

Pegawai kanan, Sanjay Kumar Khatri berkata kepada pemberita, operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dilancarkan bagi mengesan mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan.

Loji jana kuasa itu dikatakan berusia hampir 30 tahun, tetapi letupan berlaku di unit penjanaan kuasa 500 megawatt dan baru beroperasi Mac tahun ini. – Bernama, 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen