Wan Azizah dan anggota Kabinet lawat sekolah di Puchong


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama anggota Kabinet yang meluangkan masa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Januari, 2020.

BEBERAPA anggota Kabinet, diketuai Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat sekolah menengah di Puchong hari ini sebagai tanda sokongan susulan isu hiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina..

Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (SMKPBP 1) dikritik pihak tertentu ekoran hiasan sambutan Tahun Baru Cina yang didakwa tidak berpelembagaan dan cuba menyebarkan agama kepada pelajar.

Sembilan menteri termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Luar Saifuddin Abdullah; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobin Sing Deo; Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Xavier Jayakumar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof; dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching hadir sama.

“Kita nak jaga kepentingan perpaduan di negara kita. Selama kita merdeka tiada isu berkenaan tanglung atau apa-apa pun perayaan, (kita perlu) bersama negara kita yang majmuk. Jangan jadikan isu yang boleh pecah-belahkan kita.

“Kita negara yang makmur, aman, damai dengan segala bangsa pelbagai agama. Jangan jadikan isu (perkara) yang sepatutnya tidak jadi isu. Perayaan tahun baru untuk semua, sama ada Islam atau tidak,” kata Wan Azizah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas sesi fotografi bersama menteri Kabinet dengan berlatarkan hiasan tanglung di sekolah berkenaan.

Kesemua mereka kemudiannya meninggalkan perkarangan sekolah itu pada kira-kira pukul 5.30 petang.

Selain itu, turut hadir adalah Ahli Parlimen Subang Wong Chen;  Adun Seri Serdang yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud; dan Adun Kinrara, yang juga exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor Ng Sze Han.

Menteri Perpaduan P Waythamoorty bagaimanapun tidak kelihatan dalam acara itu.

“Kita semua menteri perpaduan,” kata Wan Azizah, ketika ditanya berhubung perkara itu.

Saifuddin bagaimanapun mempertahankan Waythamoorty dengan mengatakan beliau mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet hari ini.

“Kabinet bincangkan dan kami semua ada di sini,” kata Saifuddin.

Teo dalam sidang media sama juga mengesahkan beberapa tanglung yang diturunkan sebelum ini akan dipasang semula.

Katanya, pada awalnya tanglung berkenaan diturunkan atas nasihat polis namun selepas siasatan terperinci dijalankan, ia dibenarkan untuk dipasang semula.

Isu itu menjadi perhatian selepas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang juga seorang peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, semalam mengancam untuk melaporkan sekolah berkenaan berhubung perhiasan Tahun Baharu Cina, yang didakwanya sebagai “tidak berperlembagaan”.

Beliau berkata, ibu bapa beragama Islam membuat aduan berhubung perhiasan itu, yang mana menurut mereka ia sebagai cubaan penyebaran agama kepada pelajar sekolah. – 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen