4 lelaki Myanmar ditahan bantu siasatan kes bunuh


EMPAT lelaki warga Myanmar ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dari negara yang sama dengan kesan tikaman di dada, di sebuah rumah sewa di Puchong, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang,  ACP Ismadi Borhan berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan pukul 12.30 tengah hari di Bandar Puteri, Puchong, kira-kira tiga jam selepas mayat itu ditemui orang awam.

“Kesemua suspek dipercayai berada di lokasi kejadian semasa kes itu berlaku. Mereka akan direman hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Soal siasat diteruskan bagi mengetahui penglibatan suspek dan motif. Seorang daripada suspek dikenal pasti sebagai suspek utama dan dipercayai cuba melarikan diri ketika ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Ismadi berkata pemeriksaan forensik mendapati terdapat dua kesan tikaman di kiri dan kanan dada mangsa.

Siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku di tingkat dua sebuah rumah kedai, yang terdapat 10 buah bilik kecil dijadikan tempat tidur, dipercayai dijadikan asrama atau rumah sewa beramai-ramai.

“Pihak polis memohon individu yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini bolehlah salurkan ke mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya sambil menambah bedah siasat akan dibuat hari ini di Hospital Serdang bagi mengenal pasti punca kematian.– Bernama, 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen