SPRM dedah rakaman audio cubaan tutup kes 1MDB


AGENSI anti rasuah hari ini mendedahkan siri rakaman audio antara bekas perdana menteri Najib Razak, pegawai kanan kerajaan dan beberapa individu dari Emiriah Arab Bersatu berhubung urusan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sembilan rakaman itu didedahkan dalam satu sidang media khas di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang menunjukkan wujud campur tangan peringkat tertinggi dalam siasatan agensi anti rasuah terhadap kes 1MDB.

Salah satu rakaman turut melibatkan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, yang ketika itu pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara, membocorkan siasatan kes kepada Najib.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata rakaman audio itu menunjukkan pelbagai salah laku jenayah termasuk salah guna kuasa, cubaan menutup kes, pemalsuan bukti, dan pembocoran rahsia keselamatan negara.

“Saya mengarahkan pegawai untuk mengambil langkah perlu. Kita akan menyerahkan dokumen ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” kata Latheefa, dalam sidang media itu.

The Malaysian Insight turut menyiarkan sidang media itu melalui Facebook.

 

Semua rakaman itu dibuat pada Januari, Februari dan Julai 2016.

Rakaman itu melibatkan siri perbualan antara Dzulkifli dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim, serta dua individu dari UAE yang dikenal pasti sebagai Putera Mahkota Sheikh Mohammed Zayed al-Nahyan dan ketua Mubadala Development Company Khaldoon al-Mubarak.

Dalam salah satu rakaman itu, Najib didengar memperkenalkan diri kepada seseorang yang menyapanya sebagai “Mr Prime Minister”.

Najib pula memanggil orang itu dengan sapaan “Your Highness” (Yang Mulia).

Mereka didengar berbual mengenai perjanjian pinjaman yang perlu disegerakan, melibatkan Riza Aziz. Perjanjian pinjaman itu, menurut Najib, mustahak bagi mengelak anak tirinya itu daripada dikaitkan dengan kes 1MDB.

Menurut Latheefa, perbualan itu berlaku pada Julai 2016, dipercayai tidak lama selepas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengumumkan tindakan mahkamah untuk mendapatkan semula wang yang diseleweng dari 1MDB.

Dalam satu lagi rakaman, Rosmah didengar memarahi Najib berhubung cara bekas perdana menteri mengendalikan isu 1MDB susulan tindakan DOJ. – 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen