LANGKAH Putrajaya untuk mengurangkan jumlah diesel subsidi kepada nelayan menyebabkan masa di laut terhad sekali gus mengurangkan tangkapan, kata kumpulan nelayan Cina.
Terdapat kebimbangan bekalan ikan tidak cukup bagi memenuhi permintaan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, dan pengguna juga terpaksa membayar harga yang tinggi untuk makanan laut.
Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee berkata, potongan diesel bersubsidi bermula pada 2018 dan ia diteruskan pada tahun lepas.
“Kebiasaannya kita mampu menangkap ikan di laut selama 22 hari setiap bulan, namun kerana potongan ini, kita hanya boleh menangkap ikan 15 hari setiap bulan.
“Sejak beberapa bulan lalu, nelayan berdepan kesukaran untuk mengisi minyak bot mereka,” kata Chia kepada The Malaysian Insight.
Menurutnya, bot nelayan biasanya memerlukan 20,000 liter diesel, namun kini mereka hanya mampu dapat 13,000 liter, menyebabkan masa menangkap ikan di laut semakin terhad.
Chia berkata, kekurangan bahan api dan penurunan jumlah tangkapan juga menimbulkan masalah dalam kalangan nelayan, menyebabkan kerosakan pada bot mereka. Katanya, kebiasaannya sebuah bot hanya memerlukan pembaikan dua tahun sekali namun kini mereka terpaksa membaikinya enam bulan sekali.

“Saya sudah 18 tahun menangkap ikan di Sekinchan, dan belum pernah berdepan situasi begini. Terdapat kekurangan bekalan diesel bersubsidi sejak dua tahun lalu,” katanya.
Presiden Persatuan Hai Suah Hutan Melintang Lee Chu Soi memberitahu The Malaysian Insight, jumlah diesel bersubsidi dikurangkan dua tahu berturut-turut. Persatuan itu mewakili nelayan di Hutan Melintang, Perak.
Lee berharap menteri dan timbalan menteri pertanian dan industri asas tani boleh melawat Hutan Melintang untuk melihat sendiri situasi dan mendengar rungutan nelayan.
Menurutnya, nelayan Hutan Melintang menyumbang 36% kepada pengeluaran makanan laut negara, dan pengurangan jumlah diesel bersubsidi dijangka akan mengurangkan hasil tangkapan 580 bot nelayan di sana.
Lee turut mempertahankan nelayan tempatan berhubung dakwaan mereka menjual diesel untuk mendapatkan wang mudah, dan berkata untuk kegunaan sendirri bagi menangkap ikan pun tidak mencukupi.
“Kita sendiri pun tak cukup bekalan ikan, bagaimana kita mahu jual diesel bersubsidi kepada pihak lain? Mungkin ia berlaku di kawasan lain, tapi bukan di sini,” katanya.
Lee berkata kerajaan perlu memperuntukkan lebih banyak diesel bersubsidi untuk meningkatkan tangkapan ikan di kawasan seperti Kuantan, Hutan Melintang dan Selangor.
“Hanya populasi negara dan jumlah bot nelayan yang akan meningkat, tetapi diesel bersubsidi dikurangkan,” katanya.
Awal tahun lalu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengurangkan jumlah diesel bersubsidi yang dibekalkan kepada nelayan sebanyak 2.88 juta liter, menyebabkan sebahagian daripada aktiviti penangkapan ikan terhenti, menyebabkan penurunan jumlah hasil makanan laut.
Menurut pemain industri, langkah berkenaan turut menjejaskan aktiviti hiliran seperti pemprosesan makanan, dan memberi peringatan ia boleh menjejaskan ekonomi.
Tahun lalu, Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil mengesahkan hanya 80 juta liter diesel bersubsidi diberikan kepada nelayan pada 2018, dan ia dikurangkan lagi sebanyak 25% bermula 2019, kepada kira-kira 60 juta liter.
Faiz juga berkata, tiada apa yang dapat menghalang nelayan daripada membeli diesel pada harga runcit untuk tambahan. Beliau juga berkata punca pengurangan hasil tangkapan makanan laut juga tidak boleh diletakkan kepada pengurangan diesel bersubsidi semata-mata, kerana permintaan pada musim perayaan dan musim tengkujuh turut menyumbang kepada faktor itu.

Kementerian Kewangan memutuskan untuk mengurangkan jumlah diesel bersubsidi yang diberikan kepada nelayan, berikutan kekangan kewangan kerajaan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata, beliau perlu melihat kepada situasi dan memahami kebimbangan nelayan.
“Tahun lalu, kita dapati nelayan pihak ketiga nelayan memberi diesel bersubsidi, namun tahun ini kita belum tahu situasi sebenar,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menjelang sambutan Tahun Baharu Cina kurang tiga minggu lalu, Chia berkata harga ikan sudah pun meningkat 20 peratus.
Harga ikan bawal naik daripada RM88 sekilogram kepada RM130 sekilogram, manakala harga udang juga naik daripada RM48 sekilogram kepada RM58 sekilogram.
Beliau berkata jumlah udang berkurangan tahu ini berikutan perubahan cuaca.
“Cuaca telahberubah dan air laut semakin sejuk menyebabkan udang ‘bersembunyi’. Kualiti udang ternak tidak setanding dengan udang yang ditangkap di laut,” katanya.
Bagaimanapun, Lee berkata segelintir peniaga sudah menjangkakan penurunan jumlah tangkapan nelayan sejak akhir tahun lalu dan telah mengimport lebih banyak makanan laut sejuk beku bagi memenuhi permintaan.
Sudah menjadi tradisi bagi masyarakat Cina untuk menghidangkan makanan laut pada jamuan makan besar, namun menurut Lee kenaikan harga menyebabkan kebanyakan keluarga hanya menghidangkan makanan secara sederhana pada perayaan itu. – 9 Januari, 2020.
Komen