Iran serang pangkalan tentera AS di Iraq


Iran melepaskan peluru berpandu ke arah pangkalan udara AS di Iraq semalam. – Gambar fail EPA,8 Januari, 2020.

IRAN hari ini menyerang pangkalan tentera Amerika Syarikat di Iraq, tidak sampai seminggu selepas seterunya membunuh jeneral kanan tentera pengawal revolusi Qassem Soleimani, lapor media.

Stesen televisyen Iran dipetik melaporkan tentera Iran melepaskan peluru berpandu ke atas pangkalan udara Ain al-Asad dan memberi amaran serangan lebih dahsyat sekiranya Amerika bertindak balas.

Iran juga memberi amaran kepada sekutu Amerika di rantau Teluk, mereka juga akan diserang sekiranya membenarkan Amerika melancarkan serangan balas dari negara mereka.

Al-Jazeera melaporkan 13 roket dilepaskan ke pangkalan udara Ain al-Asad di barat Iran manakala sumber kerajaan Kurdish dipetik berkata pangkalan di Irbil di utara Iran juga diserang.

Iran melancarkan serangan ini tidak sampai seminggu selepas Amerika membunuh Qassem dekat lapangan terbang antarabangsa Baghdad pada 3 Januari lalu.

Serangan turut membunuh beberapa orang yang lain termasuk komander paramiliter Iraq Abu Mahdi al-Muhandis.

Sementara itu, Pentagon mengesahkan aset ketenteraannya di Iraq diserang oleh Iran.

“Peluru itu dilancarkan dari Iran dan disasarkan ke arah dua pangkalan tentera di Iraq yang menempatkan tentera AS dan tentera bersekutu di Al-Assad dan Irbil,” kata penolong setiausaha pertahanan Jonathan Hoffman dalam satu kenyataan.

Kenyataannya juga menyebut Washington sedang menilai kerosakan awal dan akan mengambil segala langkah perlu bagi melindungi kepentingan Amerika dan sekutunya di rantau itu.

Presiden Donald Trump juga sudah diberi taklimat dan memantau mengenai perkembangan terbaru ini, sementara Setiausaha Negara Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan Mark Esper juga berada di White House, kata pegawai.

Dalam pada itu, bekas atase pertahanan Iraq ke Amerika, Ismael Alsodani berkata serangan Iran ini adalah isyarat betapa seriusnya tindakan Amerika membunuh Qassem.

“Ia satu penghinaan oleh Amerika terhadap Iran,” katanya, seperti dipetik Al-Jazeera.

“Iran terpaksa bertindak balas dengan skala yang sama. Saya tidak fikir hanya ini saja tindak balas mereka.” – 8 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen