KELEMAHAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengakibatkan hubungan antara kaum di negara renggang sejak dua tahun pemerintahan mereka, kata penganalisis politik Denison Jayasooria.
Perkara itu katanya berlaku disebabkan kurangnya kepimpinan politik dan kerjasama dalam gabungan parti politik PH.
“Sejak selepas PRU14, isu berkaitan agama dan perkauman semakin meningkat.
“Hinggakan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menggesa ahli politik tidak menghangatkan lagi suhu politik dalam negara.
“Mereka tidak seharusnya mencetuskan isu ketegangan kaum dan agama yang boleh menjejaskan keharmonian negara sebaliknya fokus mencari penyelesaian,” kata Denison.
Beliau berkata demikian pada satu Wacana Masa Depan – Siri Wacana Institut Masa bertajuk “Mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama: Cabaran Mengurus Defisit Kepercayaan Antara Etnik di Malaysia”, malam tadi.
Wacana anjuran Institut Masa Depan Malaysi (Masa) itu dihadiri Marzuki Mohamad, yang merupakan pegawai tugas-tugas Khas menteri dalam negeri sebagai panel dan dipengerusikan oleh Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
Denison juga melihat antara langkah kerajaan yang tunduk terhadap desakan membantah ICERD juga satu kesilapan.
Katanya, keputusan kerajaan menarik diri daripada ICERD juga menjadikan negara sebaris dengan Myanmar dan Korea Utara.
“Amat memalukan ketika kita mengatakan Malaysia negara berbilang kaum, kita berada sebaris bersama mereka,” katanya.
Beliau juga menggesa anggota Kabinet PH fokus menambah baik sistem dan kelemahan pentadbiran berbanding mencari kesalahan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
“Menteri PH perlu mengurangkan serangan terhadap pentadbiran kerajaan terdahulu dan menangani kelemahan sistem,” katanya.

Pendapatnya itu bagaimanapun disanggah Marzuki, yang melihat tiada ukuran khusus yang menunjukkan situasi perkauman dan agama hangat selepas pertukaran kerajaan.
“Tidak ada satu barometer lepas PRU14 keadaan lebih tegang, tapi keadaannya di sosial media itulah yang berlaku. Ada isu hubungan kaum dilihat tegang. Ia banyak berkait soal politik perkauman, agama, dan identiti yang dimainkan pihak tertentu,” katanya.
Sebaliknya, Marzuki berpendapat, ahli politik semata-mata tidak seharusnya dijadikan sasaran mudah untuk dipersalahkan.
Menurutnya, pengurusan isu perpaduan tiada satu penyelesaian khusus kerana sifatnya yang dinamik.
“Orang politik, atau NGO, mereka ada peranan masing-masing bagaimana nak mengurus keadaan, kadangkala ya (mereka) jadi penyebab kepada isu yang berlaku.
“Kita tengok juga sumbangan mereka, ada ahli politik jadi penyumbang kepada penyelesaian dalam satu masalah, mereka yang duduk bincangkan isu ini, bagaimana hendak selesaikan isu perbezaan antara kaum, kontrak perlembagaan, siapa yang buat memorandum, itu pimpinan negara yang mana orang politik, hari ini pun begitu juga.
“Soalnya kesediaan semua pihak, ahli politik, kumpulan berkepentingan, NGO, dan masyarakat untuk mereka lihat isu itu dalam bentuk objektif dan munasabah dalam menyelesaikan sesuatu isi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Marzuki berkata dalam konteks Malaysia, sistem rundingan yang menjadi amalan sejak sekian lama berjaya mengekalkan keamanan.
“Kalau kita duduk bersama berunding tiada isu yang tidak boleh kita selesaikan, dalam konteks negara kita banyak perkara dapat diselesaikan dalam hubungan kaum, kalau tidak kita tiada di sini.
“Saya tak nak tuding jari salah orang ini, itu, ada kelemahan masing-masing tapi ada sumbangan mereka untuk selesaikan masalah ini,” katanya.
Namun, sikap segelintir parti politik memainkan sentimen kaum dan agama untuk meraih sokongan agak membimbangkan, katanya.
“Ya, perkembangan agak tidak sihat di mana parti politik cuba mendapatkan sokongan semata-mata dengan main isu perkauman bagi saya amat tidak sihat.
“Semua pihak perlu kembali kepada asas penting iaitu memajukan negara, aspek ekonomi, pendidikan, sosial, bagaimana semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang boleh beri sumbangan konstruktif dalam membina negara ke hadapan,” katanya.
Marzuki berkata kerajaan dan rakyat seharusnya melihat jangka masa panjang dan tidak terus terbelit dalam permasalahan kaum dan agama.
“Kita tak boleh sentiasa terbelenggu dengan isu perkauman dan agama kerana kalau tak ditangani dengan baik boleh memberikan impak negatif kepada negara berbilang kaum,” katanya. – 8 Januari, 2020.
Komen