PERSENGKETAAN sekian lama antara kerajaan negeri Sarawak dan Kementerian Pendidikan berhubung seorang bekas profesor madya dikatakan punca pergolakan dalam lembaga pengarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) baru-baru ini.
Pemberhentian tiba-tiba pengerusi Unimas Sulong Matjeraie pada 20 Disember oleh kementerian adalah kerana Andrew Aeria, iaitu bekas pensyarah fakulti sains sosial, kata dua ahli akademik dengan salah seorang dari Unimas.
Aeria, berasal dari Pulau Pinang, pakar dalam sains politik dan pengajian pembangunan, dengan kenyataannya sering dipetik oleh media.
Kecenderungan politiknya dilihat sebagai pro Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri Sarawak tidak begitu setuju dengan analisisnya.
“Ia rahsia terbuka. Semua orang di universiti tahu beliau mesra PH,” sumber di Unimas yang enggan dinamakan.
Dalam satu temu bual dengan portal berita sebelum pilihan raya negeri 2011, Aeria mendakwa kerajaan negeri Sarawak mengguna pakai “politik yang menakut-nakutkan”.
Beliau turut mempersoalkan kenapa kerajaan negeri, di bawah Barisan Nasional ketika itu, membenci parti-parti politik dari semenanjung.
Dalam usaha mengeluarkannya dari Unimas, sumber berkata kerajaan negeri memohon Kementerian Pendidikan Tinggi memindahkan Aeria ke institusi di semenanjung. Di bawah pentadbiran BN, portfolio pendidikan dibahagikan kepada dua dengan pendidikan tinggi diletakkan di kementerian berasingan.
Seorang sumber berkata ketika permohonan itu tidak diambil tindakan, kerajaan negeri bertindak dengan membatalkan permit kerja Aeria dengan harapan kementerian akan memindahkannya keluar.
Ia tidak pernah berlaku dan Aeria kekal di universiti itu – tetapi tidak boleh mengajar – hinggalah beliau bersara dua tahun lalu.
“Jika kerajaan negeri fikirkan mereka dapat hentikan Aeria, mereka silap,” kata dua pensyarah yang enggan dinamakan kerana mereka kenal Aeria secara peribadi dan masih aktif di pusat pengajian tinggi itu.
Aeria dilaporkan disyorkan oleh “rakan-rakan PH” kepada kementerian untuk dilantik sebagai lembaga pengarah Unimas kerana pengalamannya.
Syor itu tidak diterima baik dan Sulung, atas arahan kerajaan negeri, mencabar pelantikan itu.
Bantahan Sulung dilihat sebagai cabaran terhadap kementerian, dan menteri pendidikan pada masa itu Dr Maszlee Malik turut ada masalah dengannya, kata dua sumber itu.
“Itu sebabnya kenapa kontrak Sulong dipendekkan. Beliau enggan membenarkan Aeria berkhidmat dalam lembaga pengarah dengan mencabar menteri itu.”
Sumber Unimas berkata keadaan itu dilihat sebagai “PH tunjuk kuasa terhadap GPS”, merujuk kepada Gabungan Parti Sarawak, gabungan parti-parti dalam kerajaan negeri.
Namun, hal pendidikan di Sarawak masih di bawah kuasa kerajaan persekutuan. – 8 Januari, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen