Premis makan digalak sedia tempat khas merokok, kata Zuraida


Diyana Ibrahim

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamruddin berkata kawasan khas merokok di luar premis makan itu perlu ditanggung sendiri kosnya oleh pengusaha. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Januari, 2020.

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan pemilik restoran menyediakan ruang khas merokok di premis perniagaan mereka, kata menterinya Zuraida Kamaruddin, namun tertakluk kepada peraturan jarak tiga meter dari meja makan terdekat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Menurut Zuraida, kawasan khas di luar premis makan itu perlu ditanggung sendiri kosnya oleh pengusaha.

“Kalau mereka bimbang perniagaan mereka terjejas dengan peraturan larangan merokok orang kurang datang jadi mereka patut melabur untuk buat kawasan khas.

“Tapi mereka perlu melalui pihak berkuasa tempatan dahulu supaya boleh ikut garis panduan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Jelas Zuraida, galakan kementeriannya ini bukan isyarat yang bertentangan dengan usaha Kementerian Kesihatan membanteras tabiat merokok.

“Anda patut lihat secara positif, lagipun tugas KPKT hanya memudahkan cara. 

“Macam perokok mereka pun bayar cukai juga,” katanya.

Katanya pada Ahad lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye menegaskan pengusaha premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas merokok di kawasan perniagaan mereka.

Larangan itu termasuk dalam lingkungan tiga meter dari kawasan premis perniagaan mereka, katanya.

Menurut Lee, perbincangan pihak Kementerian Kesihatan dan KPKT setakat ini hanyalah menimbangkan soal penyediaan tempat membuang puntung rokok di kawasan awam.

Tambah Zuraida lagi, biarpun penyediaan kawasan khas merokok bagi pemilik restoran masih  di peringkat cadangan namun bagi PBT ia diwajibkan.

KPKT akan memperuntukan RM1 juta bagi penyediakaan kawasan khas di setiap 155 kawasan PBT.

“Setiap satu kawasan khas merokok yang siap berbumbung ada tempat membuang puntung rokok kosnya adalah RM5,000.

“Malahan kita sudah ada satu kawasan khas merokok di Ampang yang disediakan PBT,” katanya.

“Kita buat ini untuk memuaskan hati perokok dan tunjuk kerajaan ini prihatin dengan keperluan dan luahan mereka.

“Kita sediakan kemudahan jadi rakyat akan lebih menerima polisi tidak merokok,” katanya. – 7 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen