Maszlee berundur bukan sebab pusat keamanan Arab Saudi, kata Dr Mahathir


Perdana Menteri FDr Mahathir Mohamad berkata ada sebab lain kenapa Maszlee Malik diminta berundur daripada Kabinet. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Januari, 2020.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau meminta Dr Maszlee Malik letak jawatan menteri pendidikan tetapi bukan kerana bekas menteri itu cuba membuka semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), yang ditutup oleh pentadbiran kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Katanya, ada sebab lain kenapa Maszlee diminta berundur daripada Kabinet, dan isu pusat keamanan yang ditutup, tidak lama selepas PH mengambil alih kerajaan, bukan satu daripadanya.

Dr Mahathir mengakui tidak semua perkara yang Maszlee lakukan semasa jadi menteri pendidikan tidak betul sehingga terpaksa letak jawatan.

“Sekarang ini saya rasa surat yang saya tulis kepadanya sudah didedahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ada banyak alasan. Saya tidak kata semua perkara yang dia buat salah. Ada yang dia buat betul tetapi kerana alasan-alasan lain, saya berpendapat dia perlu letak jawatan, dan dia setuju. 

“Jadi dia letak jawatan,” katanya, pada sidang media di Putrajaya, hari ini. 

Dr Mahathir diminta mengulas laporan Free Malaysia Today awal hari ini yang memetik sumber berkata perdana menteri memberi kata dua kepada Maszlee untuk letak jawatan berhubung cubaan membuka semula pusat anti keganasan itu.

Maszlee turut menafikan laporan portal berita tersebut.

Menulis di Twitter, Maszlee menyifatkan laporan Free Malaysia Today sebagai “fitnah”.

“Ini adalah fitnah.

“Tidak pernah ada pun perbincangan mengenai King Salman Centre for International Peace (KSCIP) semasa saya menjadi Menteri Pendidikan dahulu,” katanya di Twitter.

Maszlee turut mempersoalkan apa kaitan kementeriannya dengan isu yang dikendalikan di bawah Kementerian Pertahanan.

Katanya, semua gerak kerjanya sebagai menteri pendidikan sebelum ini ada laporan dan direkodkan. 

“Anda semua boleh semak dengan warga KPM,” katanya.

“Saya sudah tiada jawatan apa-apa. Saya bukan lagi menteri. Saya hanya rakyat biasa.

“Saya mohon agar fitnah sebegini dihentikan segera oleh sesiapa sahaja dalangnya, dan saya merayu sangat-sangat agar media menyemak dahulu kesahihan berita sebelum disiarkan,” tambahnya.

Pada awal Ogos 2018, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu memberitahu Dewan Rakyat bahawa Putrajaya sudah menutup pusat anti keganasan yang dibiayai Arab Saudi itu.

Pusat keamanan tersebut diumumkan penubuhannya pada Mac 2017 semasa Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz al-Saud mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia. 

Pada Julai 2017, Najib Razak mengumumkan pusat berkenaan akan dibina di tapak seluas 16 hektar di Putrajaya.

Sementara itu, ditanya mengenai pengganti Maszlee, Dr Mahathir berkata beliau akan menentukannya “kerana itu adalah prerogatif saya”.

Maszlee meletakkan jawatan pada 3 Januari lalu selepas dinasihati berbuat demikian oleh perdana menteri, yang beliau anggap sebagai ayahanda, pemimpin dan negarawan ulung.

Ahad lalu, The Malaysian Insight melaporkan Maszlee letak jawatan selepas menerima sepucuk surat daripada perdana menteri.

Dalam surat itu, Dr Mahathir meluahkan kekecewaannya terhadap Maszlee yang dianggap sering membuat keputusan yang meletakkan kerajaan “dalam keadaan sukar.”  – 7 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen