Polis kawal sempadan elak daun ketum diseludup ke Thailand


Kalidevi Mogan Kumarappa Ravin Palanisamy

Pengarah JSJN Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd berkata ada kebimbangan kegiatan menyeludup daun ketum ke Thailand akan meningkat selepas pihak berkuasa negara itu mengeluarkannya dari senarai kesalahan narkotik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Januari, 2020.

JABATAN Narkotik Bukit Aman sudah bersedia meningkatkan kawalan di pintu sempadan negara bagi mengekang aktiviti eksport daun ketum ke Thailand susulan keputusan kerajaan negara itu membenarkan penggunaannya bagi tujuan kesihatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd berkata ada kebimbangan kegiatan menyeludup daun ketum ke Thailand akan meningkat selepas pihak berkuasa negara itu mengeluarkannya dari senarai kesalahan narkotik.

Sebelum ini, penyeludupan daun ketum ke Thailand diambil tindakan oleh pihak berkuasa kedua-dua negara, jelasnya.

“Sebelum ini, mereka bawa keluar ke Thailand, kita tangkap tetapi dengan perkembangan terbaru, kami tidak tahu bagaimana rentaknya nanti, sama ada mereka akan keluar.

“Ia akan memberi masalah kepada kita sekiranya kerajaan memutuskan ketum juga kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas sidang media khas Ketua Polis Negara di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Khalil, JSJN yang mempunyai Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) di semua negeri bersempadan dengan Thailand sedang dalam proses mengumpul maklumat dan membuat risikan bagi mengelak penyeludupan daun ketum ke negara jiran itu.

“SNN ada di Perlis, Kelantan, Perak dan Kedah dan mereka diberi tugas mengumpul maklumat-maklumat lanjut.

“Saya boleh katakan kita dalam keadaan siap siaga,” katanya.

Thailand pada Disember lepas meluluskan pindaan undang-undang narkotik yang membenarkan penggunaan produk ganja dan ketum untuk tujuan perubatan.

Dengan pindaan tersebut, jawatankuasa kawalan narkotik mempunyai kuasa untuk membenarkan pemilikan, pengeluaran, penggunaan, import dan eksport ganja dan ketum. 

Bagaimanapun, menurut Mohd Khalil, Malaysia sehingga hari ini masih kekal keputusan meletakkan ketum di bawah Akta Racun. 

Jelasnya, tahun lepas lebih 150 ribu kilogram daun ketum dirampas iaitu kenaikan 84% daripada tahun sebelumnya, manakala air ketum menunjukkan penurunan 72% iaitu daripada 233 ribu liter pada 2018 kepada 69 ribu liter tahun lepas. – Bernama, 6 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen