Polis mahu jumpa pengendali kurier bincang usaha banteras dadah


Kalidevi Mogan Kumarappa Ravin Palanisamy

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya mengesan kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran barang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Januari, 2020.

POLIS Di-Raja Malaysia akan mengadakan perjumpaan dengan 116 pengendali perkhidmatan kurier bulan ini bagi berbincang usaha membendung sebarang kegiatan dadah menggunakan perkhidmatan mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya mengesan kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran barang.

“Saya mahu tahu apa yang mereka boleh lakukan untuk menentang pengedaran dadah, mungkin mereka ada SOP (prosedur operasi standard) sendiri.

“Bukan itu saja, saya juga perlu bina hubungan baik antara PDRM dengan mereka dan saya perlu kenal mereka selain pastikan ada arah untuk dirujuk berhubung pengedaran dadah,” katanya kepada pemberita selepas sidang media khas Ketua Polis Negara di Bukit Aman, hari ini.

Pertemuan itu akan diadakan pada 16 Januari ini, katanya.

Sementara itu, Khalil berkata pihaknya akan melipatgandakan operasi pada tahun ini, dengan mengambil momentum daripada kejayaan rampasan dadah pada tahun lalu.

“Tangkapan membabitkan tokan atau pengedar dadah adalah tumpuan kedua. Tumpuan pertama adalah melakukan lebih banyak rampasan dadah bagi memastikan tiada bekalan dadah di pasaran,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan jabatannya, Khalil berkata, PDRM berjaya merampas 20 tan dadah bernilai RM 2.7 bilion sepanjang 2019, berbanding hanya 8.9 tan dadah bernilai RM394 juta sepanjang 2018.

Selain itu, tangkapan melibatkan dadah juga meningkat pada tahun 2019 iaitu sebanyak 1,808 tangkapan, berbanding hanya 1,186 pada 2018, selain berjaya menumpaskan 9 ketua sindiket pada tahun 2019, sama dengan bilangan yang direkodkan untuk tahun 2018.

Untuk tahun 2019 juga, katanya, sebanyak 137,961 kertas siasatan telah dibuka berhubung kes dadah, dan 70 peratus atau 97,111 daripadanya berjaya dihadapkan ke mahkamah.

Khalil turut mendedahkan enam jenis dadah yang paling popular, iaitu syabu, ekstasi, heroin, ganja, yaba (WY), dan erimin 5. – 6 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen