Skandal gangguan seksual: Setiausaha pertahanan Britain letak jawatan


Setiausaha Pertahanan Britain Michael Fallon meletak jawatan susulan dikaitkan dengan skandal gangguan seksual di Westminter. – Gambar AFP, 2 November, 2017.

SETIAUSAHA Pertahanan Britain Michael Fallon meletak jawatan semalam menjadi ahli Parlimen pertama berbuat demikian susulan dikaitkan dengan skandal gangguan seksual di Westminter.

Fallon dalam sepucuk surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Theresa May berkata banyak tuduhan muncul mengenai ahli Parlimen sejak beberapa hari kebelakangan ini termasuk sesetengah yang mengaitkan dirinya.

“Kebanyakan tuduhan ini palsu namun saya menerima pada masa lalu saya juga tidak menepati standard tinggi disyaratkan dalam pasukan keselamatan yang perlu saya wakili,” tulisnya.

Fallon memohon maaf minggu ini kerana meletakkan tangannya pada lutut wartawan politik, Julia Hartley-Brewer.

Ketika muncul di televisyen, beliau berkata dirinya tidak fikir peletakan jawatan Fallon berdasarkan insiden pada 2002.

“Saya beranggapan ada lebih banyak tuduhan muncul. Saya ragu-ragu ia kerana lutut saya dan saya fikir ia tidak masuk akal dan gila,” kata Hartley-Brewer kepada Sky News.

Fallon tidak membalas secara langsung ketika ditanya BBC jika beliau bimbang lebih banyak kisah akan didedahkan berkaitan tingkah lakunya.

“Budaya sudah berubah sejak beberapa tahun lalu, apa yang mungkin diterima 15, 10 tahun lalu jelas tidak diterima sekarang,” katanya kepada penyiar British itu.

May menggesa peraturan ke atas tingkah laku MP diperketat dan memohon satu mesyuarat minggu depan bersama pemimpin parti lain, susulan kemunculan beberapa dakwaan gangguan seksual di Westminster. – AFP, 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen