Pemimpin Catalonia enggan pulang ke Madrid


Pemimpin gerakan pemisah Catalonia Carles Puigdemont yang tersingkir dari Sepanyol bersama anggota kabinetnya mengadakan sidang akhbar di Brussel, Belgium kelmarin. – Gambar AFP, 2 November, 2017.

PEGUAM pemimpin pemisah Catalonia Carles Puigdemont mengesahkan semalam, anak guamnya itu tidak akan hadir memberi keterangan di mahkamah Sepanyol atas dakwaan pemberontakan dan hasutan.

Puigdemont yang ketika ini berada di Brussels bersama 13 anggota kabinet lain yang turut sama disingkirkan, diminta hadir di mahkamah atasan jenayah Sepanyol hari ini dan esok.

“Beliau tidak akan ke Madrid dan saya mencadangkan beliau disoal di Belgium,” kata peguam Paul Bekaert kepada saluran televisyen Sepanyol, TV3.

Arahan mahkamah dikeluarkan susulan hakim mahu menyoal mereka dalam siasatan berhubung pengisytiharan kemerdekaan Catalonia, yang menyebabkan Sepanyol mengalami krisis terbesar sejak berdekad lalu.

Isnin lalu, ketua pendakwa raya Sepanyol berkata pihaknya sedang menimbangkan dakwaan pemberontakan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun, hasutan dan salah guna dana awam ke atas Puigdemont.

Perbicaraan di Mahkamah Kebangsaan yang mengendalikan kes jenayah besar, mungkin menyaksikan 14 bekas pemimpin didakwa secara rasmi.

Bekaert, peguam Belgium yang dilantik oleh Puigdemont memaklumkan penyiar Belanda, NOS lewat kelmarin, jika anak guamnya berkunjung ke Sepanyol, “ada kemungkinan besar beliau akan ditahan”.

Bekaert memberitahu saluran televisyen tempatan VTM, beliau tidak menjangka Puigdemont kembali ke Sepanyol dalam tempoh terdekat.

Jika Puigdemont, 54, dan yang lain gagal muncul di mahkamah di Madrid, pendakwa raya Sepanyol akan memohon waran tangkap antarabangsa jika mereka berada di luar negara. – AFP, 2 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen