KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador memberi peringatan kepada semua pemimpin politik supaya bijaksana dan berhemah dengan tidak melakukan perkara yang sensitif sehingga membazirkan tenaga pegawai dan anggota polis untuk hal-hal yang remeh.
Beliau meminta mereka supaya memahami tugas polis menjaga keamanan dan membanteras jenayah, dan bukannya melayan hal-hal yang berbangkit daripada perbuatan dan percakapan ahli politik.
“Saya merayu semua ahli dan pemimpin politik supaya memahami dinamika negara. Kita hidup pelbagai kaum, agama, jadi gunakan kepelbagaian kita untuk jana kekuatan.
“Pemimpin dan ahli politik, gunakanlah kebijaksanaan. Tidak ada masalah yang tidak dapat diatasi. Jangan lakukan aktiviti untuk sakitkan hati orang lain dan kemudiannya mencabar orang lain,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Jelas Hamid, pihaknya tidak akan meminggirkan setiap kes jenayah dan salah laku yang dilakukan mana-mana pihak, namun meminta ahli dan pemimpin politik bersikap lebih bertanggungjawab.
“Isu politik ini merugikan negara. Polis terpaksa buat kerja lebih masa. Pada hujung tahun ketika orang lain bercuti dan mengurus persekolahan anak, anak buah saya pula terpaksa menunggu dalam trak.
“Buang masa saya dan anak buah saya. Sepatutnya tugas mereka digunakan untuk membanteras aktiviti jenayah dan dadah, bukannya terlibat dalam isu remeh.
“Saya minta kefahaman mereka, untuk fikirkan tanggungjawab polis ini amat berat,” katanya.
Hamid berkata beliau berhasrat melihat pasukan polis dihormati dan diberi kepercayaan oleh rakyat, sama seperti keadaan semasa negara menghadapi ancaman komunis dulu.
“Matlamat polis pada tahun ini adalah untuk mendapatkan kembali keyakinan rakyat.
“Dahulu semasa Parti Komunis Malaya (PKM) mengancam negara, orang ramai bersandar kepada polis. Polis dan juga tentera ketika itu mendapat penghormatan daripada rakyat,” katanya. – 6 Januari, 2020.
Komen