4 peluru mortar jatuh di Zon Hijau di Baghdad


Kawalan di kawasan Zon Hijau di Baghdad diperketat susulan ketegangan yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dan Iran.– Gambar EPA, 6 Januari, 2020.

EMPAT peluru mortar telah ditembak dan terjatuh di dalam Zon Hijau yang dikawal ketat di pusat bandar Baghdad, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang pegawai Kementerian Pertahanan Iraq.

Insiden itu berlaku pada sebelah petang apabila kesemua mortar terkena zon tersebut yang menempatkan beberapa pejabat utama kerajaan Iraq dan kedutaan Amerika Syarikat, kata pegawai yang meminta identitinya dirahsiakan.

“Sebutir peluru terjatuh di tebing Sungai Tigris yang berhampiran dengan kedutaan AS,” kata sumber itu.

Zon Hijau yang dikawal ketat itu sering menjadi sasaran serangan mortar dan roket. Zon berkeluasan kira-kira 10 kilometer persegi itu terletak di tebing barat Sungai Tigris, yang membahagi dua ibu kota Iraq.

Pada lewat Sabtu, Abu Ali al-Askari, pemimpin keselamatan militia Syiah Iraq iaitu Kata’ib Hezbollah (KH) memberi amaran agar pasukan tentera Iraq berundur dari pangkalan-pangkalan AS tidak kurang daripada jarak 1,000 meter bermula Ahad.

“Pemimpin perkhidmatan keselamatan perlu mematuhi peraturan yang berkaitan dengan keselamatan pejuang mereka dan tidak membenarkan mereka menjadi perisai manusia,” kata al-Askari.

Serangan terkini itu berlaku selepas serangan dron AS yang diarahkan Presiden Donald Trump membunuh Qassem Soleimani, komander tentera elit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dan Abu Mahdi al-Muhandis, naib ketua pasukan separa tentera Iraq, Hashed Shaabi.

Serangan itu berlaku berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad pada awal pagi Jumaat.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dan Presiden Hassan Rouhani telah berikrar untuk membalas dendam terhadap AS atas kematian Soleimani. – Bernama, 6 Januari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen