Siasatan kes Anwar, Azmin, Najib selesai, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa Ravin Palanisamy

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamad pihaknya akan bertemu dengan Peguam Negara untuk bincang tindakan lanjut terhadap ketiga-tiga kes berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Januari, 2020.

POLIS sudah menyiapkan kertas siasatan tiga kes yang menjadi tumpuan umum melibatkan Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali dan Najib Razak, yang akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara petang ini.

Siasatan terhadap Anwar berhubung dakwaan mencabul bekas pegawainya Muhammed Yusoff Rawther manakala siasatan terhadap Azmin berhubung rakaman seks dua lelaki yang tersebar pada Jun lalu.

Siasatan melibatkan Najib pula menyentuh akuan berkanun bekas anggota polis Azilah Hadri mendakwa bekas perdana menteri mengarahnya membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamad berkata, pihaknya bersama pegawai polis dari Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) akan bertemu pihak Peguam Negara untuk berbincang tindakan lanjut berhubung ketiga-tiga kes itu.

“Petang ini, pegawai D5 berjumpa Jabatan Peguam Negara, selepas itu baru kami boleh menentukan tindakan lanjut berhubung semua kes itu,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman, petang ini.

“Persoalan sama ada Anwar perlu menjalani ujian poligraf juga akan dibincangkan petang ini,” tambahnya.

Yusoff pada 17 Disember lalu menjalani ujian poligraf selama hampir empat jam di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau diserang secara seksual oleh presiden PKR.

Berhubung akuan berkanun yang dibuat oleh Azilah, Huzir berkata beberapa saksi sudah dipanggil untuk membantu siasatan.

“Ya, ada saksi dipanggil,” katanya ringkas.

Azilah dalam akuan berkanunnya mendakwa Najib memberi arahan kepadanya pada Oktober 2006 supaya membunuh Altantuya, yang digambarkan sebagai perisik asing berbahaya.

Azilah yang kini menunggu pelaksanaan hukuman mati di Penjara Kajang membuat akuan bersumpah itu dalam permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk menyemak semula sabitan dan hukuman ke atasnya, dan meminta kes dibicara semula.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 20 April ini untuk mendengar permohonan semakan semula Azilah.– 6 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen