.jpg)
SELEPAS kenyataan MPM disiarkan oleh sebuah media pada 18 Disember 2019, akan kemungkinan pihaknya mengambil tindakan undang-undang terhadap Mara susulan keputusan kepimpinan Mara berhasrat menguncupkan fungsi agensi berkenaan yang berlawanan dengan peranan sewajibnya berdasarkan peruntukan Akta Mara 1966, beberapa NGO lain turut menyuarakan bantahan yang sama.
Seperti dijangka, reaksi Mara terhadap kenyataan itu adalah mengeluarkan kenyataan amaran yang keras, bukan memanggil pihak MPM untuk berbincang bagi sama-sama mencari formula terbaik kepada isu yang tercetus.
Kenyataan itu melambangkan sikap angkuh kepimpinan dan pengurusan Mara sebagai pemegang amanah kepada sebuah institusi kepentingan awam.
MPM tidak perlu dan tidak akan menyalak lagi sebagai respon kepada kenyataan oleh pihak Mara itu. Pasukan para peguam dari Komuniti Perlembagaan & Perundangan MPM sudah memulakan kerja mengkaji isu ini untuk melihat dari sudut mana dan siapa plaintif yang akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Mara.
Biar sistem perundangan menentukan kewajaran tindakan Mara itu. Barangkali juga tindakan itu akan turut ‘membuka pekung di dada’ segala permasalahan Mara sejak ianya ditubuhkan 54 tahun yang lalu.
Secara kebetulan, MPM kini membentuk satu pasukan Gerakan Rakyat yang libatkan ribuan NGO dalam pelbagai bidang kepentingan Melayu & Islam, bagi melihat kepada pelbagai bentuk ancaman yang kini menggugat keselamatan, keamanan dan kemakmuran Negara, terutama yang ada kaitan dan kepentingan dengan Bumiputera, Melayu dan Islam.
Ancaman luaran termasuk kesombongan pihak-pihak yang menghidupkan kembali ideologi komunis PKM, militan daesh, militan LTTE, malah fahaman evangelis, subversif dan macam-macam lagi.
Ancaman global pula dicetus oleh beberapa institusi antarabangsa yang bersekongkol dengan beberapa institusi tempatan, menuduh Melayu dan Islam di negara mendiskriminasi lain-lain etnik dan lain-lain agama.
Kerana tuduhan dan tohmahan itu Melayu dan Islam sering didiskriminasi bila mana mereka ini ingin menyertai beberapa program antarabangsa. Akan tetapi bagi saya, ancaman paling bear dicetuskan oleh orang Melayu itu sendiri.
Cuba kita teliti kepada prestasi kebanyakan institusi kepentingan Melayu yang ditubuhkan khusus untuk memertabatkan dan memakmurkan orang Melayu. Ada
diantaranya gagal diurus dengan penuh tanggung-jawb dan amanah oleh kepimpinan dan pengurusan Melayu yang menerajuinya.
Kita ambil satu kes saja dulu, Mara.
Jom kita kembali mengembara bersamanya sejak ianya mula ditubuhkan 54 tahun yang silam. Saya terima hujah kerajaan hari ini dan kepimpinan semasa Mara jika mereka menyatakan banyak kerosakan yang dilakukan ke atas Mara oleh rejim yang lalu, dicelah-celah beberapa kejayaan yang ditempa.
Jika tidak masakan Mara tidak mampu untuk lebih hebat dari Petronas. Terpulang kepada budi bicara kerajaan dan kepimpinan Mara kini untuk menggali cerita-cerita silam, memuji yang bagus dan menghukum siapa saja yang berdosa terhadap Mara kerana dosa itu juga adalah dosa mereka kepada orang Melayu.
Apa pun, prioriti kepimpinan Mara yang ada semestinya ke arah memperkasakan Mara dan lonjak kegemilangannya.
Sayugia diingatkan di sini untuk dikongsi oleh semua rakyat, terutama orang Melayu.
Tidak ada akta sesebuah agensi selengkap Akta Mara 1966 yang begitu omnibus, yang membolehkannya menceburi apa jua bisnes, menubuhkan apa jua perbadanan atau jabatan dibawahnya, menceburi atau mengusai sesuatu bisnes, tanpa perlu kembali ke Parlimen untuk kelulusan.
Tapi apa ke halnya, kepimpinan yang ada ini melakukan sebaliknya.
Sebagai pemegang-taruh, kami berhak bersuara terhadap tindak-tanduk Mara. Ini bukan pertama kali Mara berhasrat sedemikian. Hampir sepuluh tahun dulu pun itu juga ceritanya.
Kami beri teguran keras terhadap Mara ketika itu. Alhamdulillah, hasil dari tekanan itulah tercetusnya ilham menubuhkan Mara Corp. Mara terus berperanan sebagai agensi kerajaan manakala semua urusan bisnes diserahkan kepada Mara Corp.
Model ekonomi ini bukanlah sesuatu yang baru dan bukan sesuatu yang aneh. Dengan adanya kembar siam ini, adalah menjadi tanggungjawab Mara menerusi Mara Corp untuk berkecimpung dalam semua bisnes yang diceburi oleh orang Melayu, di dalam dan luar negara.
Kedua-duanya secara kolektif bertanggungjawab menyediakan ‘jaring keselamatan ekonomi’ kepada orang Melayu.
Hakikatnya majoriti orang Melayu kekurangan pengalaman bisnes, ini sebab utama orang Melayu takut (bukan malas) ceburi dunia bisnes. Bagi mereka ini, terjun ke dalam dunia bisnes ibarat menyuruh mereka terjun ke dalam gaung yang semua orang tahu ada banyak ranjau menunggu di bawah sana.
Jika Mara benar-benar komited dan berperanan menyediakan ‘jaring keselamatan ekonomi’ ini, ‘gaung ekonomi’ itu tidak menakutkan mereka lagi sebab mereka penuh yakin Mara ada di sana untuk mereka.
Seandainya Mara tegar dengan pendiriannya untuk hanya memfokus kepada bidang berkaitan pendidikan saja, siapa yang Mara harapkan menyediakan orang Melayu dengan ‘jaring keselamatan ekonomi’ ini, YTL, Berjaya, Nestle, Alibaba atau Al-Bukhari?
Jika Mara tegar dengan keputusannya itu, sahlah bahawa Mara adalah ancaman kepada orang Melayu, bukan kepada generasi seperti saya yang sudah bersara, tetapi kepada generasi milenium, generasi anak, cucu dan cicit kami semua.
Betul, ancaman Mara cetuskan itu tak sama dengan ancaman pengganas LTTE misalnya, tetapi ia adalah ancaman kepada generasi milenium Melayu mencari sesuap nasi.
Adakah Mara mahukan mereka ini menjadi pengemis minta kerja dengan pihak lain atau memulakan bisnes dengan bernaung dibawah sayap orang lain walhal, 54 tahun dulu kerajaan sudah persiapkan Mara untuk menggalas tanggungjawab itu.
Para pemimpin Melayu ketika itu dah dapat rasakan seandainya orang Melayu tidak punyai agensi kepentingannya sendiri seperti Mara ini, ke mana anak-cucu mereka akan mengadu nasib.
Saya akan ulang berkali-kali mesej ini, Mara adalah sebuah agensi yang lain dari yang lain. Ia diperlengkapkan dengan akta yang sedemikian rupa bagi membolehkannya melakukan apa saja demi kepentingan orang Melayu.
Jika Tan Sri Khalid dengan pasukan pengurusannya diterajui arwah Tun Ismail Ali, yang memulakan PNB hanya dengan modal kecil yang dipinjam dari kerajaan, mampu mengejutkan dunia dengan ‘rampasan korporat’ Dawn Raid, takkan lah Mara yang begitu gah hanya mampu menguncupkan skop fungsinya. Aduhai Mara.
Pada hari Jumaat 3 Januari 2020 lepas, Kluster Ekonomi di bawah Gerakan Rakyat diterajui MPM telah bersidang mengenai isu ancaman ekonomi ini. Tatkala lapan lagi kluster lain memfokus kepada tindakan membenteras lain-lain bentuk ancaman, Kluster ini memfokus dan akan memulakan tindakan mereka melihat kepada ancaman ekonomi terhadap orang Melayu.
Sasaran pertama ialah membina kekuatan ekonomi orang Melayu. Langkah pertamanya ialah membetulkan yang tak betul. Agenda pertamanya ialah menganjurkan Forum Awam mengenai Mara. Ianya akan diadakan dalam masa terdekat ini.
Jika Mara ingin turut sama menganjurkannya, atau paling tidak menghadirinya, kami amat mengalu-alukan. Forum Awam ini bukan nak bentangkan kertas kerja atau cadangan.
Kluster ini sudah kumpulkan semua dokumen Kongres Ekonomi Bumiputera 1, 1965, Akta Mara 1966 dan sajak arwah Usman Awang yang didedikasi kepada Mara.
Kami nak semua pemegang taruh yang hadiri forum itu teliti semua dokumen itu, fahami dan hayati apa yang datuk-datuk kita dulu fikirkan dan perjuangkan untuk kita dan cucu-cicit kita.
Biar semua pemegang taruh ini suarakan isi hati mereka terhadap Mara.– 6 Januari, 2020.
* Dr Hasan Mad merupakan setiausaha agung MPM.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen