2 ditahan dipercayai edar dadah 


DUA lelaki tempatan dipercayai pengedar dadah ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini, Jumaat.

Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din berkata hasil risikan pegawai dan anggotanya daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik membawa kepada serbuan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah apartmen di Taman Johor Jaya pada 10 pagi.

Katanya dalam serbuan itu pihaknya turut merampas pelbagai dadah yang disembunyikan di dalam apartmen berkenaan.

“Kita merampas sebanyak  5,570 biji pil ecstasy, 286.8 gram serbuk ecstasy, 1.346 kilogram ketamin, 600 biji pil eramin 5 dan 200 batang ganja yang keseluruhannya bernilai RM265,360,” katanya dalam sidang media di Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, sebuah kenderaan jenis BMW 525i Sport E60, tiga bentuk cincin, wang tunai RM2,000 dan matawang dolar Singapura turut dirampas dalam serbuan itu.

Mohd Kamarudin berkata serbuan kedua yang membawa kepada penahanan lelaki berusia 35 tahun pula dilakukan di sebuah apartmen di Taman Pelangi pada 9 malam, hari yang sama.

“Kita juga menemui pelbagai jenis dadah bernilai RM22,600 di dalam apartment terbabit  iaitu sebanyak  250 biji pil eramin 5, sebanyak 65.17 gram serbuk ecstasy, 68.2 gram kokain, 14.40 gram ketamin, 36 biji pil ecstasy dan 59.09 gram Ganja,” katanya.

Turut dirampas adalah sebuah kenderaan jenis Honda Accord, dua utas jam tangan jenama Blansacar dan wang tunai RM3,000.

Beliau berkata kesemua dadah berkenaan dipercayai adalah untuk pasaran tempatan terutama bagi kegunaan pusat-pusat hiburan.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek  berusia 35 tahun itu yang dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari bermula semalam dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama, 5 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen