SERAMAI 32 individu ditahan atas pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah dalam Op Sarang yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu termasuk Inanam selama seminggu bermula 28 Disember lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua individu ditahan itu berumur antara 20 hingga 53 tahun termasuk lapan daripada mereka adalah warga asing.
“Polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 7.71 gram yang dianggarkan bernilai RM1,156.50 mengikut harga dadah semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Habibi berkata usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya akan sentiasa diperhebatkan demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.
Orang ramai turut diminta memberi kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kepada Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu (IPD) di talian 088-529 220 atau menerusi Facebook IPD Kota Kinabalu, katanya.– Bernama, 5 Januari, 2020.
Komen