Penentang Jawi pun keterlaluan, kata Anwar


Mohd Farhan Darwis

Anwar berkata, tulisan jawi adalah khazanah negara dan pengenalannya di sekolah adalah sekadar untuk pengetahuan asas sejarah Bahasa Melayu itu sendiri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Januari, 2020.

PENENTANGAN sesetengah pihak terhadap pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan agak keterlaluan sehingga menimbulkan ketegangan dalam negara, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Tulisan Jawi adalah khazanah negara dan pengenalannya di sekolah adalah sekadar untuk pengetahuan asas sejarah Bahasa Melayu itu sendiri, jelasnya.

“Mengenai tulisan Jawi, saya tidak mahu hangatkan keadaan, saya telah buat kenyataan, ia adalah khazanah.

“Kadang-kadang yang menentang itu pun agak keterlaluan sehingga menyentuh perasaan orang Melayu seolah-olah Jawi sudah kuno… Sanskrit itu kuno tapi orang masih belajar, Latin itu kuno, tapi dalam banyak ilmu masih dikuasai,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program kecemerlangan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Selangor, di Serdang, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pengenalan asas tulisan Jawi yang diberikan kepada murid sekolah juga tidak membebankan mereka.

“Bukan untuk dikuasai sehingga jadi tulisan kebangsaan, tapi untuk kita ketahui. Saya tidak fikir Bahasa Melayu itu tidak dapat dikuasai tanpa sedikit pengetahuan tentang asalnya. 

“Ini khazanah bahasa kebangsaan, bukan satu serpihan saja. 

“Yang diperkenalkan itu juga tidaklah sehingga satu bab, sekadar 2 hingga 3 halaman untuk sekadar kenal, saya tidak fikir itu jadi masalah,” katanya.

Anwar Ibrahim menasihati agar isu tulisan Jawi segera diselesaikan kerana perbalahan hanya akan merugikan sektor pendidikan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Januari, 2020.

Anwar berkata, mereka yang tidak bersetuju bebas menyatakan pandangan namun tidak seharusnya sehingga mengguris perasaan orang lain.

“Sekadar nak beri pandangan setuju atau tidak setuju, tak apa, tapi tak perlu hangatkan,” katanya, lagi.

Beliau juga menasihati agar isu itu segera diselesaikan kerana perbalahan hanya akan merugikan sektor pendidikan negara.

“Sebab itu saya beri nasihat, kalau boleh dileraikan dan ini yang berlaku..negara rugi sebab sepatutnya negara bicara soal mutu pendidikan dan keperluan kita kuasai bidang pendidikan.

“Ini orang yang baca (isu Jawi) itu lihat sampai nak kenal sedikit huruf pun jadi masalah besar, pada pendapat saya, tidak ada halangan,” katanya.

Isu tulisan Jawi jadi polemik sejak Ogos lalu susulan laporan mengenai pengenalannya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bermula Tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan tahun ini.

Langkah itu diputuskan oleh Kementerian Pendidikan pada 2015 semasa Muhyiddin Yassin jadi menteri, dan ditetapkan pelaksanaannya pada 2020.

Kontroversi timbul selepas pelaksanaan pengajaran Jawi mendapat bantahan daripada badan pendidikan Cina dan Tamil, tetapi pada masa sama, disokong oleh pertubuhan Melayu.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 14 Ogos mengekalkan keputusan tulisan Jawi diajar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di sekolah jenis kebangsaan mulai tahun ini, tertakluk kepada beberapa syarat.

Antaranya, hanya tiga muka surat dalam buku teks, mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PBG) serta ibu bapa, dan tidak dinilai dalam ujian atau peperiksaan.

Bagaimanapun, isu itu membawa kepada episod berbalas kenyataan antara pemimpin politik dan masyarakat, yang umumnya berbaur perkauman. – 5 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen