ANWAR Ibrahim tidak mahu mana-mana pihak terus menghangatkan isu peralihan kuasa kerana keputusan menetapkan urusan dan tarikh peralihan adalah perbincangan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Presiden PKR berkata, isu peralihan kuasa juga wajar dibincangkan secara harmoni antara beliau dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Anwar diminta mengulas cadangan dua pemimpin PKR yang mahu PH menetapkan tarikh peralihan kuasa pada Mei ini.
“Ada pandangan begitu (tetapkan tarikh peralihan kuasa) tapi sepertimana yang kita persetujui harus dibincang antara saya dengan perdana menteri atau sebaiknya dalam forum majlis presiden.
“Tapi wajar dibincang dalam suasana baik dan tidak perlu dihangatkan isu ini,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui pihaknya sedar terdapat kebimbangan adanya cubaan menggugat usaha peralihan kuasa tersebut.
“Kebimbangan yang disuarakan ialah kerana ada anggapan percubaan-percubaan luar untuk menggugat ini, tapi saya tidak fikir ia alih pandangan dalam isu-isu dalam negara kita sekarang,” katanya.
Semalam, Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir dalam satu kenyataan menggesa Majlis Presiden PH menetapkan tarikh peralihan kuasa kerana ia akan mematahkan persepsi ada pergolakan dalam PH terkait isu itu, seperti yang sering dimainkan oleh pihak pembangkang.
Penetapan tarikh itu juga kata Akmal akan mencerminkan kesepakatan antara komponen dalam gabungan parti kerajaan.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah berkata tidak ada tarikh akhir Mei 2020 untuk penyerahan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar.
Dr Mahathir juga sudah menyatakan komitmen pada 10 Disember 2019 akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini.
Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak APEC 2020 di Kuala Lumpur pada November.
Gesaan menetapkan tarikh peralihan kuasa turut dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Pusat PKR dan juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad. – 5 Januari, 2020.
Komen