-2.jpg)
SAYA memanjatkan syukur kepada Allah kerana setelah sekian lama mendendangkan dan memperjuangkan isu Hospital Banting akhirnya ada berita gembira mengenai penambahbaikan tiga hospital termasuk Hospital Banting yang dibentang dalam Bajet 2018 baru-baru ini.
Pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-13 Parlimen, setelah saya dipilih buat kali kedua menjawat ahli Parlimen Kuala Langat, antara perkara pertama yang saya bangkitkan ialah isu penambahbaikan Hospital Banting ini.
Dikala saya dan keluarga memerlukan rawatan dan perubatan, saya tidak ke hospital lain atau klinik swasta malah saya memilih menggunakan perkhidmatan Hospital Banting.
Pemerhatian saya ketika itu, petugas hospital bekerja tanpa mengira penat lelah sehingga ada yang terpaksa bekerja lebih masa setiap hari demi memastikan pesakit yang datang diberikan rawatan terbaik.
Tetapi malangnya saiz dan fizikal itu menghalang mereka memberikan rawatan terbaik kepada lebih ramai pesakit. Malah ada kes-kes yang terpaksa dirujuk kepada beberapa hospital lain seperti Hopital Tengku Ampuan Rahimah Klang atau Hospital Putrajaya kerana kekurangan ruang dan doktor pakar.
Saya mengambil ketetapan isu ini perlu dibawa ke peringkat nasional untuk diselesaikan segera.
Sehingga hari ini saya masih lagi menggunakan perkhidmatan Hospital Banting kerana dengan cara ini saya dapat berkomunikasi secara terus dengan pesakit dan petugas hospital.
Sebagai contoh, baru-baru ini saya ke Hospital Banting lebih kurang jam 3 pagi dan dapati masih ramai orang menantikan rawatan di wad kecemasan.
Malah kehadiran saya ketika itu juga digunakan sepenuhnya oleh petugas hospital untuk mengadu masalah termasuk kekurangan staf, doktor pakar, pemandu ambulan ada yang terpaksa bekerja tiga shif dalam satu-satu masa terutamanya setiap hujung minggu dan musim perayaan termasuk keuzuran kemudahan hospital berkenaan seperti ambulan yang sering rosak.
Bukan itu saja, bekalan ubatan juga sering terputus dan terpaksa dicatu. Setiap tiga bulan saya akan mendapatkan bekalan ubat untuk ibu saya dan itulah masalah yang saya hadapi.
Saya mengharapkan usaha penambahbaikan Hospital Banting ini bukanlah hanya kepada saiz dan fizikal bangunan semata-mata malah turut meliputi penambahan kakitangan seperti jururawat, doktor pakar, ruang letak kereta, penggantian kemudahan dan bekalan ubat-ubatan.
Janganlah khabar gembira ini hanya sebagai gula-gula menjelang pilihan raya dan menjadi janji tinggal janji sepertimana projek Hospital Tanjung Karang yang kini hanya tinggal papan tanda dan semak samun sahaja. Akhirnya apa nak jadi dengan janji-janji ini?
Saya melahirkan rasa kerisauan saya atas pemotongan bajet ubat-ubatan sebanyak RM19 juta bagi semua hospital kerajaan.
Apakah pula jaminan kerajaan dalam memastikan bekalan ubat-ubatan mencukupi dalam kita menghadapi cabaran yang maha dahsyat seperti krisis inflasi dan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang dan cukai GST yang menjerut rakyat.
Bukan isu Hospital Banting sahaja, malahan isu balai bomba yang dibangkitkan kerana ada keperluannya memandangkan kepadatan penduduk di Daerah Kuala Langat yang semakin bertambah.
Hari ini, saya lihat balai bomba baru telah dibina termasuk pembinaan sekolah di Bandar Saujana Putra, penambahbaikan jalan dari Sungai Manggis ke Dengkil dan banyak lagi.
Saya sekali lagi memanjatkan rasa syukur kerana akhirnya suara rakyat Kuala Langat dapat saya bawa ke Parlimen dan hari ini usaha saya sedikit demi sedikit mendapat hasil yang baik. – 1 November, 2017.
* Abdullah Sani Abdul Hamid adalah ahli Parlimen Kuala Langat.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen