Lelaki dipercayai edar dadah, senjata api dan rokok ditahan 


POLIS menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, senjata api dan rokok di sebuah bengkel kenderaan miliknya di Felda Pasak dekat Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata lelaki berumur 57 tahun itu ditahan kira-kira 5.15 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

“Hasil siasatan, polis merampas 289 karton pelbagai jenis rokok tanpa cukai kastam, selaras senapang angin buatan sendiri, beberapa paket plastik mengandungi dadah jenis heroin seberat 402.5 gram dan sejumlah pil eramin 5 serta satu alat penimbang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahsmon berkata lelaki itu mengaku kesemua barangan terbabit adalah miliknya dan rokok tersebut untuk dijual kepada penduduk sekitar.

Beliau berkata lelaki itu memiliki enam rekod jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif terhadap dadah jenis morfin.

Katanya dia kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.– Bernama, 3 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen