Pakatan tidak tetapkan Mei untuk Dr Mahathir serah kuasa, kata Saifuddin


Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah berkata tiada tarikh akhir ditetapkan untuk penyerahan kuasa perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Januari, 2020.

Pakatan tidak menetapkan sebarang tarikh kepada Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, kata Saifuddin Abdullah.

“Walaupun Majlis Presiden Pakatan Harapan bersetuju pada 6 Januari, 2018 yang Anwar akan menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ke-8, ia tidak menyatakan sebarang tarikh.

“Maka, isu tentang peralihan kuasa pada Mei 2020 tidak berbangkit,” kata ketua setiausaha Pakatan Harapan (PH) itu dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahan pula, Saifuddin berkata Dr Mahathir sudah punya memberi komitmen pada 10 Disember 2019 bahawa beliau akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun ini.

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak APEC 2020 di Kuala Lumpur pada November.

Dr Mahathir akan menjadi satu-satunya perdana menteri yang menganjurkan mesyuarat APEC dua kali, selepas kali terakhir di Kuala Lumpur pada 1998.

“Sebarang soalan tentang isu peralihan kuasa patut diberikan kepada Majlis Presiden PH untuk diputuskan,” kata Saifuddin yang juga menteri luar.

Saifuddin mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Pusat PKR yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang mahu Majlis Presiden PH memenuhi peralihan kuasa Mei 2020 daripada Dr Mahathir kepada Anwar.

“Ia perlu dilakukan demi negara ini. Kawasan saya, perkhidmatan awam atau masyarakat perniagaan, mereka mahukan jawapan jelas tentang perkara ini,” kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan hari ini. – 3 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen