MOHAMADDIN Ketapi tidak berasa bimbang dengan kemungkinan diminta meletak jawatan seperti rakannya dalam Bersatu, Maszlee Malik.
Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata prestasinya baik kerana Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kementeriannya pada tahun 2018 merekodkan pencapaian 93%.
“Yang saya tahu (KPI saya) dekat 100%, saya tak tahu 100% itu baik atau tak baik, saya tak bimbang.
“Kenapa saya perlu bimbang? Kalau kamu hendak saya buat kerja saya buat. Kalau tidak mahu saya buat kerja bila-bila masa (boleh gugurkan) kenapa saya hendak bimbang,” katanya kepada pemberita.
Mohamaddin berkata demikian ketika ditanya dalam satu sidang media di pejabat Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), ibu negara, hari ini.
Prestasi menteri tersebut menjadi perhatian pada bulan lalu kerana didakwa tidak pernah mengadakan menyuarat pasca-Kabinet yang menjadi kelaziman di kementerian lain.
Tuduhan itu disangkal Mohamaddin yang menyebut mesyuarat pasca-Kabinet tidak perlu diadakan setiap minggu.
Beliau juga antara menteri yang menduduki tangga tercorot dalam satu kaji selidik diadakan satu portal berita berhubung prestasi menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH).
Maszlee yang juga merupakan antara menteri menduduki tangga tercorot dalam tinjauan itu semalam mengumumkan perletakan jawatan sebagai menteri pendidikan, berkuatkuasa hari ini.
Maszlee semalam menyebut tiga perkara – projek Internet sekolah, pengenalan Jawi dan program sarapan percuma sebagai antara sebab beliau diminta meletak jawatan.
Menurutnya peletakan jawatan itu dibuat atas permintaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Pentabiran kerajaan PH kini berdepan pelbagai kritikan kerana masih gagal menunaikan banyak janji pilihan raya dan menyebabkannya tewas dalam beberapa pilihan raya kecil sejak Mei 2018. – 3 Januari, 2020.
Komen