Singapura larang 2 lagi individu berhubung skandal 1MDB


Pihak Berkuasa Monetari Singapura baru-baru ini mengumumkan selesai melakukan semakan laporan transaksi kewangan melibatkan 1MDB. – Gambar EPA, 1 November, 2017.

SINGAPURA melarang dua lagi individu daripada terlibat dengan industri kewangannya berhubung penyelewengan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bloomberg melaporkan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) melarang bekas penganalisis penyelidikan Lee Chee Waiy dan bekas pedagang Kelvin Ang selama enam tahun.

Ini menjadikan jumlah yang diharamkan daripada industri kewangan Singapura berhubung 1MDB kepada enam orang.

Ang, yang sebelum ini bekerja dengan Maybank Kim Eng Securities, didenda SG$9,000 (RM27,950.52) pada Mei selepas mengaku melakukan pembayaran rasuah kepada Lee, yang ketika itu bekerja untuk NRA Capital bagi mneyegerakan penyediaan laporan penilaian positif.

Bloomberg melaporkan MAS juga ingin mengenakan larangan kekal kepada Yeo Jiawei, yang sebelum ini bekerja untuk bank Swiss BSI SA dan dijatuhkan hukuman penjara pada Julai selama 54 bulan.

Dia didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram dan menipu bekas majikannya, termasuk caj lain.

MAS pada Mac juga melarang bekas pengurus bank Goldman Sachs, Tim Leissner daripada industri sekuriti selama 10 tahun kerana mengeluarkan surat yang tidak dibenarkan dan membuat kenyataan palsu bagi pihak bank.

Singapura juga bertindak menutup dua cawangan bank Swiss dan merampas ratusan juta aset dan disabitkan dengan lima kesalahan berkaitan 1MDB.

Langkah-langkah itu dilihat sebagai tindakan untuk melindungi reputasi republik itu sebagai pusat kewangan. – AFP, 1 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen