KABINET Sarawak akan membuat keputusan berhubung pembelajaran Jawi di sekolah negeri itu pada mesyuarat 16 Januari ini.
Menteri Pendidikan Sarawak Michael Manyin ketika ditanya sama ada Sarawak akan mengikut langkah Sabah yag menjadikan subjek Jawi sebagai pilihan dan tidak termasuk dalam silibus Bahasa Melayu, berkata beliau akan membangkitkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet.
“Sama seperti Sabah, keputusan mesti dari Kabinet. Saya percaya Kabinet negeri akan memutuskan pada mesyuarat akan datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Bendick pada 28 Disember lalu berkata, pembelajaran Jawi perlu diberikan hanya jika pelajar memilih untuk mempelajarinya.
Sementara itu, Ketua Menteri Abang Johari Openg ketika ditanya soalan yang sama pada sidang media sebelum ini menganggap isu kontroversi itu sebagai perkara kecil.
“Saya tak mahu terlibat dalam isu kecil ini. Pada saya ia perkara remeh.
“Mengapa saya perlu diheret dalam perkara ini?”
Beliau bagaimanapun membayangkan ibu bapa di Sarawak mempunyai pilihan untuk tentukan apa yang mereka mahu kepada anak-anak mereka.
“Sekiranya mereka mahu, anak mereka boleh diajar Jawi. Sekiranya mereka tak mahu, terpulang kepada mereka.
“Sarawak mempunyai dasarnya sendiri itu sebabnya kita tidak mahu perkara kecil ini berlaku di Sarawak. Kita lebih bimbang dengan ekonomi.”
Abang Johari berkata Sarawak lebih prihatin dengan menangani masalah ekonomi negara, seperti kenaikan kos sara hidup berbanding isu jawi.
“Kita perlu tangani kos sara hidup, itu yang menjadi keutamaan.
“Bagaimana untuk bantu rakyat kita. Itu sepatutnya jadi keutamaan kita.”
Kontroversi tercetus selepas polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong daripada mengadakan kongres jawi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen menyifatkan tindakan polis itu sebagai “mengecewakan”.
Pemimpin Pakatan Harapan dan DAP Sarawak itu berkata, polis telah bertindak terhadap manifesto PH iaitu kebebasan untuk berhimpun dan perlembagaan persekutuan memberi jaminan terhadap kebebasan bersuara.
Beliau meminta kerajaan dan Majlis Presiden PH mengambil tindakan untuk menangani isu berkenaan.– 2 Januari, 2020.
Komen