Selepas Singapura, Sultan Johor juga larang 2 pendakwah Islam


Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melarang menyekat pendakwah Malaysia, Haslin Baharim dan Mufti Zimbabwe Ismail Menk menyampaikan ceramah di negeri tersebut. – Gambar Facebook, 1 November, 2017.

JOHOR mengikut jejak langkah Singapura menyekat pendakwah Malaysia, Haslin Baharim dan Mufti Zimbabwe, Ismail Menk, yang diharamkan masuk ke republik itu, daripada menyampaikan ceramah di negeri itu, lapor portal berita BH Online.

Keputusan itu dibuat ketika Putrajaya berpendirian tiada apa-apa yang membimbangkan yang dilakukan oleh dua pendakwah tersebut.

Alasannya yang diberikan oleh Johor sama, kedua-dua pendakwah itu didakwa mempunyai pandangan tentang Islam yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata larangan itu adalah titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang dikeluarkan hari ini.

“Kandungan ceramah yang pernah disampaikan oleh kedua-dua penceramah sebelum ini dilihat boleh membawa kegelisahan dalam keharmonian kaum.

“Jabatan Agama Johor akan terus memantau perkembangan ceramah agama di negeri ini, bagi memastikan tiada elemen atau pandangan yang menggalakkan perpecahan kaum disampaikan,” katanya seperti dipetik oleh BH Online.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata Putrajaya tidak akan menghalang dua pendakwah berkenaan kerana “kerajaan mendapati tiada sebarang kesalahan yang dilakukan dalam ceramah (mereka) sebelum ini.”

“Ketika mereka di Malaysia, mereka tidak menyatakan apa-apa yang mencetuskan ketegangan kaum atau konflik di sini,” katanya.

Kerajaan Singapura minggu ini menyekat dua pendakwah itu daripada memberi ceramah dan masuk ke republik itu kerana kandungan ceramah mereka sebelum ini yang dilihat  boleh menjejaskan keharmonian sosial dan memecah belahkan masyarakat majmuk.

Kementerian Dalam Negeri Singapura, dalam keputusannya itu, mengatakan Ismail Menk dalam satu ceramahnya tidak membenarkan orang Islam memberi ucap selamat bersempena perayaan agama lain.

Haslin pula didakwa menyebarkan pandangan yang menggalakkan perpecahan dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.

Keputusan Sultan Johor ini dibuat tiga minggu selepas Majlis Raja-Raja Melayu melahirkan kebimbangan tentang cubaan individu tertentu menggugat perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini, yang dibuat atas nama Islam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, Syed Danial Syed Ahmad, Raja-Raja Melayu menzahirkan kebimbangan tindakan atas nama Islam itu boleh membawa kesan yang mendalam kepada masyarakat majmuk di Malaysia.

Raja-raja Melayu turut menggesa rakyat agar mempertahankan imej Isam yang toleran, sederhana dan inklusif.

“Imej Islam yang menggalakkan penganutnya bersikap toleran, sederhana dan inklusif wajib dipertahankan daripada dicemari tindakan-tindakan yang bersikap keterlaluan dan memisahkan rakyat,” kata kenyataan itu.

Tuanku sebelum ini menitahkan majlis agama Islam negeri tidak berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana agama adalah bidang kuasa negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan kes Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah, Zamihan Mat Zin yang didakwa mengkritik larangan Sultan Johor mengenai dobi untuk orang Islam sahaja. – 1 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen