RM128,000 bukan harga beli basikal pecut Olimpik, kata sumber


Zaim Ibrahim Diyana Ibrahim

Basikal kegunaan atlet negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dilaporkan mencecah RM128,000. – Gambar EPA, 2 Januari, 2020.

MALAYSIA mempertaruh harga mahal untuk melindungi teknologi bagi basikal pecut yang akan digunakan atlet lumba balapan negara di Sukan Olimpik Tokyo 2020, kata sumber.

Sumber dalam Institut Sukan Negara (ISN) itu berkata, jumlah yang didakwa mencecah RM128,000 itu merupakan harga yang diletakkan untuk peralatan berkenaan dan bukan harga pembeliannya.

“Berkaitan laporan basikal paling mahal itu tidak tepat. Tujuannya untuk melindungi teknologi basikal yang dibangunkan menerusi kajian penyelidikan dan pembangunan ini.

“Oleh yang demikian, kami terpaksa meletakkan harga tinggi supaya negara lain tidak akan beli basikal buatan kami memandangkan harga terlalu tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, teknologi itu dilindungi dengan menaikkan harga kerana Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) mewajibkan semua peralatan bagi Olimpik 2020 perlu dijual di pasaran bermula Januari.

Jelas sumber, kajian dan pembangunan jentera tersebut merupakan projek bawah ISN dengan kerjasama sebuah syarikat dari United Kingdom, yang tidak mahu didedahkannya.

Pelumba basikal pecut negara, Azizulhasni Awang turut menolak dakwaan bahawa harga RM128,000 yang ditetapkan untuk jentera pasukan Malaysia itu merupakan harga rangka paling mahal.

Malaysia menaruh harapan kepada Azizulhasni Awang untuk menang pingat emas dalam acara pecut pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. – Gambar EPA, 2 Januari, 2020.

Beliau percaya kebanyakan maklumat dalam dokumen didakwa bocor dan menjadi sumber laporan portal sukan berbasikal BikeRadar itu salah dan menyimpang daripada fakta.

“Kebanyakannya diperbesarkan sahaja, itu pandangan saya. Kalau ikutkan fakta sebenar basikal Lotus untuk pasukan Great Britain adalah paling tinggi kosnya.

“Mungkin mereka ada agenda disebaliknya,” katanya yang kini dalam proses untuk pulih daripada kecederaan.

Beliau mengalami kemalangan dalam acara Keirin di siri kelima Piala Dunia Brisbane, Australia pada 14 Disember lalu.

Malaysia menaruh harapan kepada jaguh itu menang pingat emas dalam acara pecut.

Beliau yang diberi nama jolokan “The Pocket Rocketman” meraih pingat pertama Malaysia dalam acara lumba basikal apabila menduduki tempat ketiga dalam acara Keirin lelaki di Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada 2016.

Azizulhasni Awang adalah The Rocket Pocketman kerana kejaguhannya dalam acara pecut berbasikal di pentas antarabangsa. – Gambar EPA, 2 Januari, 2020.

Portal BikeRadar memetik satu dokumen yang menyenaraikan basikal serta komponen didaftarkan dengan UCI untuk temasya tersebut.

Ia mendakwa, rangka model Work Vorteq Track yang akan digunakan atlet Malaysia merupakan model yang paling mahal, berharga GBP28,000 (RM128,000).

Laporan itu juga mendakwa pasukan Great Britain akan menggunakan rangka Hope HB.T, yang berharga £15,500 (RM83,000) bagi rangka basikal yang standard.

Sementara itu, pelumba Jerman didakwa akan menggunakan rangka model jenis FES B20 dan FES B16 masing-masing berharga €14,143.40 (RM64,200) dan €10,607.55 (RM48,600).

Di bawah peraturan UCI, mana-mana basikal yang akan digunakan dalam Sukan Olimpik Tokyo perlu disahkan untuk kejohanan antarabangsa pada tarikh yang sama.

Senarai itu diberikan kepada semua persatuan lumba basikal kebangsaan demi keadilan, dengan menunjukkan semua basikal dan komponen yang ada di pasaran kepada semua peserta.

The Malaysian Insight difahamkan ISN akan membuat sidang media khas berkaitan isu tersebut menjelang kejohanan dunia itu. – 2 Januari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen