Amanah, parti politik matang


MENJENGAH angka lima tahun parti ini bernafas di tanah air tercinta atas dasar kesederhanaan yang diamalkan dan kerjasama politik erat, maka sudah pasti boleh dikatakan parti politik berteraskan Islam moderat ini sudah matang dan stabil berhadapan suhu suasana politik Malaysia yang kian panas.

Ia mahu dinamakan dengan nilai tertinggi sesebuah perjuangan dan memilih nilai Amanah sebagai nama kepada parti yang digelar “parti nyamuk” ini.

Kejayaan Amanah menjadi tunjang kepada kerajaan yang memerintah hari ini telah membuktikan kewibawaan dan kekuatan parti politik “nyamuk” ini mampu berada seiring parti beraudienskan Islam iaitu PAS dan parti yang menjadi kerajaan buat sekian lama iaitu Umno.

Jelas, peranan Amanah yang dipimpin Mohamad Sabu amat besar sekali dalam menjayakan agenda Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil tampuk pemerintahan dari penguasa zalim Barisan Nasional (BN).

Perjalanan parti ini sudah pasti berhadapan pelbagai onak duri sementelah memegang tampuk kuasa yang sudah dikecapi.

Hanya suara lantang dan desakan aktivis parti sentiasa menjadi semak imbang untuk sebahagian pimpinan Amanah yang mungkin sudah dibuai mimpi indah.

Maka, bahtera Amanah ini terus diharap agar dikemudi pada laluan yang tepat walaupun dibadai ombak dan taufan.

Mesej yang jelas juga ditunjukkan oleh ahli parti ketika pemilihan, bahawa pimpinan yang hanya lantang di media sosial dan tidak pandai berpolitik dinyahkan secara harmonis sekali.

Terserlah kecerdikan ahli Amanah yang berfikir panjang demi masa depan parti dengan memilih pimpinan yang penuh berkemahiran tinggi dan mempunyai wawasan jelas selain mampu bermasyarakat kerana ia syarat utama dalam membimbing sebuah parti muda yang sarat dengan idea segar dan baru ini.

Malah, Keberdayaan Amanah menarik perhatian rakyat Malaysia adalah amat membanggakan kerana konvensyen yang lalu ini berlangsung serentak dengan mesyuarat tahunan dua parti lain yang lebih ramai ahlinya iaitu Mesyuarat Agung Umno dan Kongres PKR.

Kebolehan Amanah mencuit perhatian rakyat menunjukkan ia berjaya menempatkan parti ini di posisi penting dalam arena politik negara.

Amalan politik sederhana dan bersifat rahmah antara satu sama lain berjaya menempatkan Amanah sebagai parti yang berupaya menjalin kerjasama politik dengan sesiapa sahaja yang mampu membawa nilai nilai moderat dan berkebajikan dalam suasana politik hari ini.

Dengan meyakini Rahmatan Lil Alamin sebagai gagasan besarnya, Amanah yakin dengan keperluan kesepakatan PH dan menggalas amanah besar mengisi tampuk pemerintahan negara dengan citra Malaysia Baru. .

Nilai yang dibawa dalam alam realiti kenegaraan parti tercinta ialah Progresif, Peduli dan Inklusif selaras keberanian ahli menampilkan pimpinan muda yang progresif serta program dianjurkan menonjolkan kepedulian kepada rakyat.

Kebebasan ahli Amanah untuk mengkritik pimpinan secara terbuka jelas menepati ciri Inklusif yang dibawa dalam menganuti nilai parti bernuansakan Islam ini.

Akhir kalam, diharapkan Amanah terus menyebarkan risalah kesederhaan dalam politik di kala suasana yang penuh ekstrem berkumandang di bumi Malaysia.

Gerak kerja yang progresif dalam menonjolkan sifat kepedulian Amanah wajar dipergiatkan di seluruh kawasan agar idea segar dapat menerobos tembok pemikiran orang Melayu Islam bagi membuktikan ia parti yang ada masa depan cerah untuk bertapak kukuh di bumi Malaysia.

Wajar disemat dalam minda kita, Amanah lahir daripada kesedaran islah dan tajdid bagi memastikan agenda politik dakwah dalam atmosfera demokrasi negara terus diposisikan di tempat sepatutnya bukan kerana ketamakkan kuasa dan ketaksuban pemimpin.

Ini kerana Amanah mampu berkecai begitu sahaja dek kerana bermatlamatkan kuasa dan harta yang hanya melalaikan kita semua. – 1 Januari, 2020.

 

* Muhammad Abrar Sadiq Azizi adalah Wakil Mahasiswa Amanah Nasional.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen