Uighur, tidak mungkin kita diam


Zainal Rashid Ahmad

APAKAH kita perlu berdiam diri dalam isu penindasan Beijing terhadap Muslim Uighur?

Ada orang gertak kita: “China akan memboikot minyak sawit – lebih baik diam dan jangan bercakap soal Uighur. Kalau Beijing marah, Malaysia susah.”

Selain isu Uighur, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga diberi amaran: “Jangan ganggu soal Kashmir dan Rang Undang-undang Kerakyatan India. Nanti New Delhi boikot sawit Malaysia.”

Ini bukan cakap kedai kopi. Ini amaran orang politik kepada Dr Mahathir.

Nasib baik orang ini tidak pukul borong memberikan amaran. Kalau pukul borong – Malaysia juga diminta tutup mulut terhadap isu Palestin dan Rohingya.

Ingat! Kita menentang pendudukan Israel di Palestin sejak Malaysia merdeka. Kita juga berdepan Amerika Syarikat, sekutu utama Israel sejak enam dekad lalu.

Rekod Malaysia dalam isu kemanusiaan sejagat sangat cemerlang. Kita antara suara utama yang menentang Rejim Aparteid di Afrika Selatan hingga jatuhnya PW Botha pada 1991.

Tindakan diam tanda bacul

Sungguh menyedihkan sekiranya kita berpegang pada prinsip: Mengizinkan kekejaman berlaku tanpa protes.

Ada yang cuba mengajar kita: “Jangan protes nanti hilang bisnes. Pastikan perut kenyang walaupun bangsa lain diganyang.”

Uighur bukan isu sebelah pihak. Kita meletakkan pandangan kemanusiaan dan kompromi perniagaan mengikut saluran yang bijak.

Putrajaya mencapai banyak kejayaan pembaharuan ekonomi dengan China terutama dalam isu pelaburan insfrastuktur.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan projek mega Tun Razak Exchange (TRX) berjaya diteruskan dengan siri rundingan semula yang sukses.

China memahami semangat diplomatik dan kerjasama ekonomi yang ditunjukkan Putrajaya. Walaupun komplikated, isu ECRL dan TRX berjaya dirunding semula.

Pada masa yang sama, China perlu mendengar pandangan Malaysia mengenai Uighur.

Terbaru, Putrajaya mengumumkan pengecualian visa selama setahun kepada pelancong China dan India.

Kedua-dua negara itu menerima keistimewaan khas dengan tempoh lawatan terhad 15 hari tanpa tempoh lanjutan. Pengecualian ini bermula 1 Januari tahun ini.

Implikasi kelonggaran visa ini sangat tinggi. Ia boleh dimanipulasi sindiket pelacuran. Kita berdepan dengan lambakan pelacur China yang masuk ke negara ini melalui penyalahgunaan visa.

Apa pun, pada masa sama, kita melihat potensi diplomatik. Selain, secara ekonomi, China dan India menjadi fokus utama sektor pelancongan kita.

Hubungan bisnes dan diplomatik harus berjalan terus. Seiring dengan isu kestabilan serantau dan hak asasi manusia.

Isu Uighur bukan konflik baru. Protes sudah disuarakan NGO tempatan sejak dua tahun lalu. Kita tidak dapat menerima cara kasar Beijing dalam melayan lebih sejuta Muslim Uighur.

Kritikan terhadap India ada asas

Mengenai kritikan Dr Mahathir terhadap Rang Undang-undang Kerakyatan yang diluluskan Parlimen India pada 11 Disember, asasnya jelas.

Rang undang-undang berat sebelah ini mencetuskan keresahan di kalangan 180 juta penduduk Islam di negara itu. Protes jalanan menentang keputusan parlimen menyebabkan 27 nyawa terkorban.

Kesan krisis agama sangat berbahaya terhadap kestabilan Asia Selatan. India bukan rakan baru Malaysia dan New Delhi wajar faham kebimbangan Dr Mahathir.

India sedang berdepan ketegangan dengan jiran dan pesaing nuklearnya, Pakistan berhubung isu Kashmir.

Kritikan Putrajaya merujuk impak ketegangan di Asia Selatan yang boleh mengheret isu rusuhan agama dan konflik nuklear.

Diplomatik moden bukan soal ekonomi sahaja

Negara bangsa pelbagai agama dan kaum di Malaysia memerlukan tamadun sikap yang jelas dan tegas terhadap isu kemanusiaan.

Kita sudah melihat pencabulan kemanusiaan dan hak asasi berlaku dalam kes unilateral Amerika Syarikat (AS) terhadap Afghanistan dan Iraq.

Tanpa restu PBB, AS menyerang Afghanistan pada 7 Oktober 2001. Perang ini menyebabkan lebih 30 ribu penduduk awam terkorban.

AS dan sekutunya turut menyerang Iraq pada 20 Mac 2003. Perang ini juga mengorban 30 ribu nyawa.

Dalam isu Uighur, Malaysia wajar bersuara. Kita memiliki hubungan diplomatik yang matang dengan China sejak 1974.

Tahniah Britain dan Turki

Turki dan Britain turut menyuarakan protes terhadap Beijing. Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu menggesa Beijing melindungi kebebasan agama dan identiti budaya etnik itu.

“Perbezaan perlu dibuat antara pengganas dan individu tidak bersalah. Saya juga perlu menegaskan bahawa kami menyokong dasar One China,” kata Cavusoglu.

Walaupun mengkritik sikap China terhadap Uighur, Ankara menyatakan sokongan kepada China dalam isu Taiwan.

Pada 24 Februari lalu, Britain lebih awal menyatakan bantahan. Menteri Pejabat Luar dan Komanwel, Lord Ahmad menyuarakan kebimbangan mengenai isu Uighur.

Majlis Hak Asasi Manusia PBB dalam laporan pada Februari 2019 mendedahkan, kerajaan China menahan umat Islam Uyghur di luar batasan undang-undang dan hak asasi manusia.

Laporan itu menyebut, lebih sejuta umat Islam di kem itu diseksa untuk patuh pada doktrin politik Beijing.

Paling mengaibkan, Muslim Uighur dipaksa meninggalkan agama.

Sikap Wee Ka Siong sangat aneh

Apabila Presiden MCA, Wee Ka Siong mendesak Dr Mahathir jangan bergaduh dengan negara besar, kita berasa kecewa.

Sindiran Ka Siong pada 22 Disember lalu, sesuatu yang aneh. Ahli Parlimen Air Hitam mengingatkan Dr Mahathir mengenai kesan ekonomi sekiranya berbalah dengan kuasa besar.

Ka Siong nampaknya tidak faham: sebuah negara bangsa harus punya akal, hati dan perut.

Kalau setakat menjaga perut, itu sikap negara yang tidak berakal dan tidak berhati perut. – 1 Januari, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen