Tahun 2020: Ke arah menjadikan dunia kediaman yang terbaik 


DAHULU, tahun 2020 kian dinanti detik ketibaannya oleh rakyat Malaysia. Diilustrasikan oleh para pemimpin bahawa Malaysia akan menjadi satu daerah yang berteknologi tinggi dan pesat membangun. Inilah gambaran yang telah dipasak dan dinanti-nanti oleh rakyat yang lahir pada tahun 90-an seperti saya.

Namun yang demikian, kemajuan dan teknologi tidak berfaedah jika jauh tersasar dengan kemajuan alam sekitar yang menjadi kediaman seluruh umat manusia di bumi ini. Rata-rata para pemimpin mempunyai sikap terlampau ghairah membangun kota, dalam diam merobohkan alam. Ini bahaya. Takut kelak, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Agenda krisis alam sekitar merupakan isu kronik dan wajar dibincangkan secara serius dari segenap lapisan masyarakat kerana ia adalah isu kemanusiaan sejagat. Lebih-lebih lagi generasi muda yang menjadi waris dalam meneruskan kemajuan negara ini. Akibat mengabaikan alam sekitar akan dirasai bukan sahaja generasi kini, tetapi anak cucu-cicit kita bergenerasi.

Benar, generasi muda mempunyai pengetahuan kesedaran yang terhad mengenai kualiti alam, tetapi kita berupaya dan mempunyai kepentingan, potensi besar serta keinginan yang kuat untuk mencipta kualiti alam sekitar yang lebih kondusif untuk dunia sejagat, dan semua ini bermula dengan generasi muda hari ini.

Laporan Suruhanjaya Dunia Mengenai Alam Sekitar yang bertajuk “Our Common Future” dilancarkan di London dalam tahun 1987. Pengerusinya, Perdana Menteri Gro Harlem Bruntland dari Norway, semasa menyampaikan buku ini kepada 12 orang belia remaja berkata:

“Securing our common future will require new energy and openness, fresh insight, and an ability to look beyond the narrow bounds of national frontiers and separate scientific disciplines. The young are better at such vision than we, we are too often constrained by the traditions of a former more fragmented world. We must tap their energy, their openness, their ability to see the interdependence of issue…”

Krisis alam sekitar telah benar-benar menggemparkan masyarakat dunia. Data sains tentang bahaya krisis ini telah banyak terkumpul dan memberikan gambaran masa depan yang amat menggerunkan.

Generasi muda perlu tampil memberikan reaksi positif, sekurang-kurangnya dalam bentuk keinginan yang serius untuk turut memahami krisis sejagat ini, kerana kitalah sebenarnya yang bakal menerima padah dari kegawatan ini.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam karyanya, Islam and Secularism mengungkapkan bahawa krisis yang melanda dalam masyarakat kini (termasuklah pemerkosaan alam sehingga hilang keseimbangannya) adalah kerana ‘confusion and error in knowledge’ akibat sistem pendidikan yang tidak bersepadu. Akibatnya, kecelakaan telah menimpa alam, haiwan, tumbuhan dan galian.

Syed Hosein Nasr pula menyifatkan krisis alam sekitar sebagai bencana yang di akibatkan oleh kehilangan manusia terhadap nilai kudus pada alam (the sacred value of nature).

Sehubungan dengan itu, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang diperkenalkan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah koleksi 17 matlamat global yang direka untuk menjadi “pelan tindakan bagi mencapai masa depan yang lebih baik dan lebih lestari untuk semua.”

SDG, yang ditetapkan pada tahun 2015 ini mensasarkan pencapiannya pada tahun 2030 dengan menyenaraikan cabaran global yang dihadapi oleh masyarakat dunia, termasuk yang berkaitan dengan kemiskinan, ketidaksamaan, perubahan iklim, kemusnahan alam sekitar, keamanan dan keadilan.

Tujuh belas matlamat semuanya saling berkaitan, dan meletakkan hasrat untuk tidak meninggalkan sesiapa di belakang. Hasrat mulia ini penting untuk dicapai semuanya pada tahun 2030 yang selari dengan agenda Negara melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Justeru, tidak dinafikan lagi tahun 2020 merupakan masa yang sesuai untuk menyahut cabaran dan menyatakan komitmen bagi menjadikan dunia kediaman terbaik untuk hidup.

Tempoh sepuluh tahun sebelum menjejaki tahun 2030 harus diluahkan dalam bentuk tindakan yang memelihara dan memulihara alam ini.

Tanggungjawab ini terpikul kepada seluruh lapisan masyarakat baik di Malaysia mahupun di dunia. – 1 Januari, 2020.


* Muhammad Wafiuddin Rosli merupakan eksekutif syariah di institusi kewangan Islam di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen