Mayat lelaki yang jatuh sungai ditemukan 


PASUKAN skuba Jambatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah menemui mayat seorang lelaki yang dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika menaiki bot bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang selepas mengail udang di sebuah pulau kecil di Sungai Muda, Ekor Kucing di Kepala Batas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Muhammad Najmi Mohd Lazim, 22, ditemukan kira-kira pukul 2.20 petang tadi, tidak jauh dari lokasi dia terjatuh bersama dua rakannya, di Kepala Batas.

“Mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat dan operasi mencari serta menyelamat yang dijalankan oleh pihak polis bersama bomba ditamatkan,” katanya hari ini.

Kejadian awal pagi tadi berlaku semasa Muhammad Najmi bersama dua lagi rakannya berusia 22 dan 24 tahun, baru selesai mengail udang dan hendak pulang.

Semasa dalam perjalanan pulang pada kira-kira pukul 6.10 pagi, bot fiber milik Muhammad Najmi  telah mengalami kebocoran, menyebabkan ketiga-tiga mereka terjatuh ke dalam sungai.

Dua daripada mereka berenang dan menyelamatkan diri, namun Muhammad Najmi yang tidak tahu berenang hanya berpaut pada bot sebelum arus kuat menariknya. – Bernama, 31 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen