PAS menggesa Ambiga Sreenevasan memberi penjelasan mengenai dakwaan beliau menjadi pemberi maklumat kepada Pengarang Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown mengenai kepimpinan PAS yang menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Najib Razak.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia itu penting bagi memberi gambaran sebenar dakwaan tersebut.
“PAS memandang berat penularan kandungan dokumen pembelaan pengarang Sarawak Report yang difailkan dalam prosiding saman fitnah oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London yang menamakan Ambiga sumber yang memberitahu kononnya pemimpin tertinggi PAS menerima wang sebanyak RM90 juta daripada perdana menteri.
“Peguam PAS sedang mengkaji perkara ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan disiarkan lidah rasmi parti itu, Harakah Daily.
The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan berdasarkan kenyataan hujah balas dan pembelaan yang diterimanya, Rewcastle-Brown mendakwa mendapat maklumat itu selepas bercakap dengan Ambiga mengenai Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PAS pada Julai 2016.
“Ambiga beritahu kepada defendan, yang menurutnya sumber itu sebagai boleh dipercayai, jumlah yang diberikan itu sekitar RM90 juta,” kata Rewcastle-Brown dalam dokumen mahkamah bertarikh 11 Oktober itu.
Dokumen pembelaan beliau difailkan kepada mahkamah susulan saman fitnah Hadi terhadapnya pada April lalu.
Ambiga bagaimanapun enggan mengulas memandangkan prosiding berkenaan sedang berlangsung di United Kingdom.
“Saya fikir saya tak boleh bincangkan prosiding yang sedang berlaku di mahkamah UK,” katanya yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 dalam jawapan menerusi aplikasi WhatsApp kepada The Malaysian Insight. – 1 November, 2017.
Komen