PENGURANGAN peruntukan kepada sekolah kini membebankan guru yang terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menyediakan bahan pembelajaran dan aktiviti sekolah.
Menurut guru ini, kebanyakan sekolah juga terpaksa bergantung kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mendapatkan dana untuk meneruskan aktiviti.
Namun ada ketika dana PIBG juga tidak mencukupi menyebabkan pihak pengurusan sekolah terpaksa meminta wang guru untuk menjalankan aktiviti, kata seorang guru berusia 27 tahun.
Beliau yang mengajar sejak tiga tahun lalu di Johor berkata ia menyebabkan beliau terpaksa mengenepikan wang khusus untuk aktiviti sekolah dan bahan bantuan pembelajaran setiap bulan.
“Kebanyakan aktiviti bukan hanya menggunakan duit PIBG tetapi ada juga dikutip daripada guru-guru. Kalau aktiviti sukan, pihak sekolah terpaksa pilih jalankan aktiviti sukan yang berpotensi sahaja.
“Setiap bulan saya peruntukan RM100, kalau setahun maksudnya sudah RM1,000 yang sudah saya belanjakan. Ini kos fotostat saja tidak termasuk bahan lain,” katanya.
Ditanya berapakah peruntukan yang disalurkan Kementerian Pendidikan di sekolahnya, beliau berkata hanya pihak pengurusan saja yang mengetahui jumlah tersebut.
“Hal ini merupakan urusan pihak pentadbir saja dan peruntukan ini biasanya akan dipecahkan seperti peruntukan untuk aktiviti ko-kurikulum, sukan, kelab dan program seperti aktiviti keagamaan.
“Dulu ada peruntukan aktiviti keagamaan, contohnya seperti sambutan Maulidur Rasul tapi sekarang tidak ada lagi,” katanya.
Guru itu berkata ketika ini, sekolahnya hanya menjalankan aktiviti wajib yang ada dalam takwim tahunan sekolah.
“Untuk sukan pula, sekolah menganjurkan sukan setakat mana yang mampu, sebabnya aktiviti sukan termasuk dalam aktiviti tahunan sekolah
“Kalau tak buat, pejabat pendidikan akan tanya dan pihak sekolah juga tidak boleh bagi alasan tidak ada bajet,” katanya.
Tambahnya guru tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan wang sendiri untuk memastikan murid mendapat bahan yang diperlukan.
“Kami terpaksa akur, suka atau tidak suka, kami kena juga keluarkan duit. Sekolah bila tiada bajet, akan ada aktiviti yang terpaksa dibuang daripada takwim tahunan.
“Kepada guru, sudah semestinya (menanggung) bebanan kewangan. Apabila aktiviti semakin berkurangan, maka potensi murid sukar digilap,” katanya.
Keluhan itu timbul walaupun Kementerian Pendidikan menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2020 – sebanyak RM64.1 bilion.
Ia melibatkan peningkatan sebanyak RM3.9 bilion berbanding RM60.2 bilion pada belanjawan tahun ini.
Menurut Menteri Pendidikan Maszlee Malik, sebanyak RM735 juta daripada dana itu diperuntukkan untuk tujuan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah di seluruh negara.
Ia bagi memastikan sekolah sedia ada dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar, katanya dalam laporan prestasi kementerian tersebut.
Dalam laporan itu, beliau juga berkata beban kerja guru berkurangan hingga 50% supaya guru dapat lebih fokus kepada pelajar dan proses menyampaikan pengetahuan.
Ia termasuk menaik taraf akses Internet di 10,208 buah sekolah dan aplikasi Google Classroom di 40,450 sekolah bagi membantu guru memberikan tugasan dan kertas kerja.
Beli kad manila pun tidak mampu
Bagaimanapun bagi seorang guru yang bertugas di Kelantan, kemudian seperti itu tidak dapat dinikmati di sekolahnya.
Guru yang telah mengajar lebih dari 20 tahun itu juga berkata peruntukan untuk sekolah agak menurun selepas pertukaran kepimpinan kerajaan.
Katanya ia menyebabkan sebahagian sekolah menerusi PIBG terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk mencari sumber kewangan seperti mengadakan jamuan amal.
“Ini memang hakikatnya sekolah terpaksa berjimat dalam pengurusan dan pelaksanaan program.
“Pernah satu ketika sekolah tidak mempunyai duit lebih pun untuk membeli kad manila,” kata guru itu yang enggan namanya didedahkan.
Malah banyak program seperti kem bestari solat yang membantu murid belajar mendirikan sembahyang tidak dapat dijalankan di sekolahnya, tambah beliau.
“Sekolah tidak mampu lagi tanggung kos untuk program tersebut biarpun ibu bapa merungut. Tapi sekolah tidak punya pilihan,” katanya.
Guru tersebut tidak menolak kemungkinan bahawa ia akan menyebakan sekolah mengutip bayaran lebih kepada pelajar untuk tampung kos pelaksanaan program.
“Kesannya sekolah akan minta duit kepada pelajar, setiap kali nak buat program memang terpaksa kutiplah duit kepada pelajar dan mungkin yuran PIBG juga akan naik,” katanya.
Keadaan itu tidak hanya berlaku di sekolah luar bandar kerana turut diakui berlaku di sebuah sekolah di Kajang, Selangor yang dikira sebagai sekolah kawasan bandar.
Guru sekolah terbabit mengakui peruntukan untuk sekolahnya turut dikurangkan walau situasinya tidaklah seteruk seperti yang di luar bandar.
“Biasanya peruntukan dikurangkan untuk aktiviti kokurikulum, “ katanya yang sudah mengajar sejak tiga tahun lalu.
Peruntukan kurang sejak 2017
Mengulas masalah itu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menjelaskan pengurangan peruntukan untuk sekolah berlaku sejak dua tahun lalu.
Presidennya, Aminuddin Awang berkata ia membabitkan pengurangan peruntukan ke atas semua aktiviti murid sama ada akademik dan ko-kurikulum,” katanya.
Ditanya mengenai jumlah peruntukan yang disalurkan di sekolah, beliau menjelaskan ia diiagihkan berasaskan bilangan jumlah murid.
Ia memaksa kebanyakan sekolah mencari peruntukan lain dan banyak bergantung kepada PIBG untuk melaksanakan aktiviti, katanya.
“Di sini, kebijaksanaan pengetua dan guru besar teruji. Pengetua dan guru besar perlu bijak membina jaringan dan jalinan dengan pihak luar bagi mencari dana atau program luar,” katanya.
Pada masa sama NUTP amat berharap agar Kementerian Pendidikan dapat memastikan setiap sekolah mendapat peruntukan selayaknya, kata Aminuddin.– 31 Disember, 2019.
Komen