Samirah tak setuju duit insurans Nazrin diguna bayar hutang 


Tertuduh pertama bagi kes pembunuhan CEO Cradle Fund Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar sebaliknya mencadangkan supaya wang caruman KWSP milik Nazrin digunakan untuk membayar hutang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

MAHKAMAH Tinggi di Shah Alam hari ini diberitahu, tertuduh pertama bagi kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, tidak membenarkan wang insurans Nazrin digunakan untuk membayar hutangnya.

Abang kepada Nazrin, Dr Abdul Aziz Hassan memberitahu mahkamah tertuduh pertama yang juga balu mangsa, Samirah Muzaffar, sebaliknya mencadangkan supaya wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik Nazrin digunakan untuk membayar hutang itu.

“Sebelum itu saya ada menghubungi seseorang dalam Cradle Fund, bernama Datuk Salahuddin, dan memintanya membantu dalam mengeluarkan sebahagian daripada wang insurans Nazrin bagi tujuan melunaskan semua hutang Nazrin yang ada.

“Tetapi Salahuddin kemudian menghubungi saya dan memaklumkan Samirah tidak bersetuju dengan pelepasan apa-apa insurans daripada Cradle Fund dan mencadangkan supaya wang KWSP milik Nazrin digunakan untuk membayar hutang Nazrin,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah kemudian bertanya kepada Abdul Aziz yang juga saksi ke-18 kes itu sama ada beliau mengetahui jumlah hutang sedia ada Nazrin, saksi itu bagaimanapun mengakui beliau tidak pasti.

“Saya tidak pasti. ..mungkin RM100, 000 ... itu pun dibayangkan oleh Samirah yang menyatakan tentang hutang kad kredit dan kereta.

“Saya tahu mengenai insurans yang diambil oleh syarikat untuk pekerjanya dan sekiranya ada kematian, syarikat akan dapat wang insurans dan ia yang akan bayar kepada keluarga pekerja selepas mendapat persetujuan ahli Lembaga Pengarah ...tetapi bila berlaku kes bunuh, semuanya akan dihentikan,” katanya.

Abdul Aziz memberitahu apabila Samirah mencadangkan supaya wang caruman KWSP milik Nazrin diambil untuk membayar hutang, beliau mendapat tahu bahawa wang itu sudah dikaveat oleh Samirah dan pengeluaran wang tersebut perlu mendapat persetujuan daripada tertuduh pertama.

Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menafikan dakwaan bahawa beliau ada wasi (wakil yang dilantik untuk menguruskan harta pusaka) bagi harta Nazrin berikutan beliau sendiri seorang yang muflis selain bukan waris faraid kerana adiknya itu mempunyai dua anak lelaki.

Sementara itu seorang lagi abang Nazrin yang merupakan saksi ke-19, Dr Malek Reedzwan Hassan memberitahu mahkamah beliau mengesyaki seorang daripada anak Samirah terlibat dalam pembunuhan Nazrin.

Beliau mendakwa ia berikutan tiga bulan sebelum kematian Nazrin, adiknya mendapat ugutan bunuh daripada seseorang selain bajunya turut dirosakkan.

“PA (pembantu peribadi) Nazrin bernama Anis yang memberitahu saya kejadian-kejadian itu ketika saya bertemunya tahun lepas. Anis juga memberitahu satu laporan polis telah dibuat (berhubung ugutan bunuh) namun ditarik balik apabila Nazrin tahu ugutan itu daripada anak Samirah, tetapi saya tidak diberitahu anak Samirah yang mana satu.

“Satu kes lagi apabila baju Nazrin digunting-gunting dan dirosakkan oleh anak Samirah itu kerana anak Samirah ada simpan dendam pada Nazrin,” dakwanya.

Dr Malek Reedzwan berkata beliau percaya dua insiden itu ada kaitan dengan kejadian pembunuhan Nazrin.

Ketika ditanya peguam mewakili Samirah, Muhammad Shafee Abdullah sama ada beliau memberitahu polis berhubung maklumat yang diperoleh daripada Anis, saksi itu berkata beliau tidak berbuat demikian.

Muhammad Shafee: Ada doktor beritahu kepada polis doktor syak anak-anak Samirah yang terlibat (dalam pembunuhan).

Dr Malek Reedzwan: Tidak.

Muhammad Shafee: Ada doktor beritahu dendam anak Samirah kepada polis.

Dr Malek Reedzwan: Tidak.

Muhammad Shafee: Adakah doktor sembunyi fakta kerana tidak memberitahu perkara-perkara ini kepada polis.

Dr Malek Reedzwan: Saya bukan sembunyi fakta, saya hanya serah kepada polis untuk melakukan siasatan mereka sendiri.

Samirah, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 dan 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh Nazrin.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung 14 Februari depan. – Bernama, 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen