HASRAT sekumpulan mat rempit menyambut tahun baharu 2020 di Pulau Pinang tidak kesampaian selepas motosikal mereka disita dalam operasi khas yang dijalankan polis di sekitar Batu Ferringhi, dekat George Town malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata sebanyak 63 daripada 350 motosikal yang diperiksa, disita dalam operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bermula 8 malam hingga 2 pagi.
“Hasil pemeriksaan, polis menyita 63 motosikal kerana pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, insurans tamat tempoh dan melakukan ubah suai kenderaan hingga melanggar undang-undang,” katanya di George Town hari ini.
Katanya dalam operasi itu, sebanyak 93 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen menunggang motosikal, tiada nombor plat di bahagian depan dan belakang, ubah suai ekzos dan beberapa kesalahan lain.
Beliau berkata kebanyakan penunggang motosikal terlibat bukan dari negeri ini.
Katanya Pulau Pinang menjadi destinasi tumpuan orang ramai termasuk kumpulan mat rempit setiap kali menjelang sambutan ambang tahun baharu dan polis mempergiat rondaan dan operasi bagi memastikan sambutan di negeri ini berjalan lancar dan selamat.– Bernama, 30 Disember, 2019.
Komen