Soalan ujian sentuh Zakir Naik tak sesuai, kata UniMAP


Zaim Ibrahim

Penceramah bebas Zakir Naik merupakan sosok kontroversi selepas mengeluarkan beberapa kenyataan yang dianggap mengganggu keharmonian kaum di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

UNIVERSITI Malaysia Perlis (UniMAP) mengakui satu soalan menyentuh pendakwah Zakir Naik yang dimuatkan dalam kertas peperiksaan universiti itu didapati tidak sesuai.

Naib Canselor R Badlishah Ahmad memberitahu The Malaysian Insight, universiti berkenaan kini sedang menyiasat kes tersebut.

“Saya tengah dapatkan maklumat dari staf dan dekan. Secara umumnya soalan dan jawapan yang diberikan memang tidak sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Tinggi pula mengambil maklum bahawa kertas peperiksaan itu juga melibatkan isu pengukuhan Jawi dan isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Namun jabatan itu tidak akan campur tangan dalam kes berkenaan kerana melibatkan autonomi universiti, menurut satu kenyataan dari pejabat ketua pengarah jabatan itu.

“JPT ingin menekankan bahawa setiap universiti mempunyai sistem kawalan kualiti dalaman dan luaran (Internal and External Quality Assurance System).

“Jawatankuasa Akademik setiap universiti (termasuk Senat universiti) bertanggungjawab ke atas semua standard akademik masing-masing.

“Berdasarkan konsep autonomi universiti, pihak JPT tidak akan campur tangan dalam urusan perlaksanaan program akademik,” kenyataan itu dipetik.

Dalam kertas peperiksaan kontroversi itu, pelajar antara lain diberitahu bahawa Zakir merupakan ikon dunia Islam dan banyak berjasa dalam menyebarkan Islam, mengikut Al-Quran dan sunnah nabi.

Pelajar itu seterusnya ditanya mengenai sebab-sebab yang di sebalik sekatan ke atas Zakir daripada berdakwah di Malaysia.

Antara lain, pelajar itu perlu memilih sekiranya ia berpunca daripada sikap rakyat yang malas mengambil tahu, mudah berasa terancam atau menurut tanpa usul periksa.

Selain itu, pelajar juga diberi pilihan sekiranya ia berpunca daripada rakyat Malaysia yang “bodoh tentang agama masing-masing”.

Ia didakwa ditampilkan sebagai soalan nombor 60 dalam kertas Hubungan Etnik untuk Peperiksaan Akhir Semester Pertama Sidang Akademik 2019/2020.

Jelas Badlishah, beliau akan memberikan penjelasan secara terperinci selepas perbincangan dilakukan.

“Isu ini akan membuka ruang perbincangan. Perinciannya saya akan bagi nanti,” kata beliau dengan ringkas.

Soalan daripada peperiksaan kertas Hubungan Etnik itu menimbulkan kecaman daripada beberapa pihak termasuk Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran yang membangkitkan isu itu

“Harap pentadbiran UniMAP akan segera tampil memberi pengesahan dan penjelasan terhadap perkara ini,” tegas Sivarraajh dalam satu kenyataan di Facebook.

Isu tersebut juga menimbulkan perdebatan di kalangan pentadbiran dan pelajar UniMAP yang mempersoalkan motif tersembunyi di sebalik soalan berkenaan. – 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen