Soalan sentuh Zakir Naik dalam kertas periksa UniMAP raih kontroversi


Zaim Ibrahim

Beberapa pihak mengecam berhubung satu soalan menyentuh mengenai pendakwah Zakir Naik dalam kertas peperiksaan Hubungan Etnik di UniMAP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2019.

SATU soalan mengenai pendakwah Zakir Naik yang didakwa dimuatkan dalam kertas peperiksaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menimbulkan kecaman beberapa pihak.

Antaranya, Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran yang menuntut penjelasan universiti ke atas soalan dalam kertas Kursus Hubungan Etnik (UUW 235) itu.

Katanya, soalan peperiksaan itu sepatutnya meningkatkan pemahaman pelajar terhadap kepelbagaian kaum tetapi ia sebaliknya tidak menghormati sensitiviti.

“Harap pentadbiran UniMAP akan segera tampil memberi pengesahan dan penjelasan terhadap perkara ini,” tegas Sivarraajh dalam satu kenyataan di Facebook.

Isu tersebut juga menimbulkan perdebatan di kalangan pentadbiran dan pelajar UniMAP yang mempersoalkan motif tersembunyi di sebalik soalan berkenaan.

Salah Selain beliau, satu akaun Facebook pelajar UniMAP berbahasa Cina beranggapan wujud motif tersembunyi dalam soalan peperiksaan tersebut yang turut berkaitan isu tulisan Jawi.

“Dalam satu soalan objektif, dalam kertas Hubungan Etnik, soalan itu ada motif tersembunyi,  soalan itu ada menyebut tentang Zakir Naik dan isu Jawi,” kata seorang pelajar.

Kenyataan itu dibalas oleh Timbalan Naib Canselor UniMAP R Badlishah Ahmad yang menyatakan soalan peperiksaan itu akan disiasat.

“Saya ambil maklum dan akan siasat segera. Terima kasih,” katanya dalam ruangan komen tersebut.

Dalam kertas peperiksaan itu, pelajar antara lain diberitahu bahawa Zakir merupakan ikon dunia Islam dan banyak berjasa dalam menyebarkan Islam, mengikut Al-Quran dan sunnah nabi.

Dalam soalan objektif dengan pelbagai pilihan itu, pelajar seterusnya ditanya mengenai sebab-sebab yang di sebalik sekatan ke atas Zakir daripada berdakwah di Malaysia.

Antara lain, pelajar itu perlu memilih sekiranya ia berpunca daripada sikap rakyat yang malas mengambil tahu, mudah berasa terancam atau menurut tanpa usul periksa.

Selain itu, pelajar juga diberi pilihan sekiranya ia berpunca daripada rakyat Malaysia yang “bodoh tentang agama masing-masing”.

Ia didakwa ditampilkan sebagai soalan nombor 60 dalam kertas Hubungan Etnik untuk Peperiksaan Akhir Semester Pertama Sidang Akademik 2019/2020.

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan maklum balas UniMAP mengenai kontroversi tersebut. – 30 Disember, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen