LAPAN terbunuh dan ramai yang lain cedera di New York susulan seorang suspek memandu trak dan merempuh ke arah pejalan kaki di Manhattan, dan bertembung dengan sebuah bas sekolah dalam satu kejadian keganasan, semalam.
Suspek kemudian keluar dari kenderaan yang disewanya itu dengan memegang dua senapang palsu, sebelum dia ditembak oleh polis dan berjaya ditahan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 3:05 petang (waktu tempatan) berhampiran kawasan sekolah di mana kanak-kanak di bandar terbesar Amerika itu sedang meraikan Halloween.
Insiden itu serangan pertama di New York yang dikaitkan dengan pengganas sejak kejadian 11 September, 2001.
Ia juga kejadian pertama di kota itu sejak letupan bom baik pada September 2016 di Chelsea, yang menyebabkan 31 orang cedera. Seorang rakyat Amerika berketurunan Afghanistan, Ahmad Khan Rahimi disabitkan bersalah atas serangan itu, awal bulan ini.
Kota itu yang diletakkan dalam kawalan keselamatan ketat sejak serangan Al-Qaeda pada 2001 terhadap Twin Towers, adalah pusat kewangan dan hiburan AS dengan populasi 8.5 juta.
Presiden Donald Trump berkata penyerang berusia 29 tahun yang nama dan kerakyatannya masih belum didedahkan, seorang yang “sangat sakit” dan “gila”.
Ketua Polis New York James O’Neill berkata lapan terbunuh, sekurang-kurangnya enam lelaki. Seramai 11 lagi dibawa ke hospital kerana kecederaan serius.
Suspek memandu trak yang disewa dari Home Depot sebelum merempuh sebuah basikal dan lorong pejalan kaki, mengejutkan orang ramai sebelum bertembung dengan bas sekolah, menyebabkan empat cedera termasuk dua kanak-kanak.
Senapang paintball dan pelurut ditemui di tempat kejadian, kata polis.
“Ia hari yang menyedihkan di kota ini, tragedi yang amat buruk,” kata Datuk Bandar New York Bill de Blasio.
“Berdasarkan maklumat yang ada pada masa ini, ini adalah perbuatan keganasan yang menyasarkan orang awam,” katanya.
Pegawai polis dan ambulans memenuhi kawasan itu, di depan taman dan bersebelahan sekolah ketika siren terus-terusan berbunyi dan helikopter berkawal di udara.
Ibu bapa kerisauan berkumpul di luar sekolah rendah awam yang ditutup itu, menunggu untuk menjemput anak pulang sekolah.
Kejadian serangan terakhir di New York yang menyebabkan ramai mangsa mati ialah pada 18 Mei, apabila seorang veteran tentera laut AS merempuh keretanya ke arah pejalan kaki di Times Square, menyebabkan seorang remaja wanita berusia 18 tahun dari Michigan maut dan 22 lagi cedera. – AFP, 1 November, 2017.
Komen