Larangan merokok di kedai makan bukan baharu


MALAYSIA menganggotai Konvensyen Rangka-kerja Kawalan Tembakau (FCTC) wajib melindungi semua daripada terdedah kepada bahaya asap rokok di tempat awam dengan melaksanakan peruntukan-peruntukan berdasarkan bukti-bukti saintifik yang berjaya mencapai objektif oleh banyak negara.

Larangan merokok di tempat awam adalah bagi melindungi semua daripada terdedah kepada asap rokok dan juga untuk mengurangkan penggunaan produk tembakau serta menghindar bayi, kanak-kanak dan remaja daripada terdedah kepada perlakuan tabiat merokok yang akan mempengaruhi mereka untuk mencuba dan menjadi pengguna produk tembakau.

Langkah larangan merokok bermula dengan pekeliling kerajaan yang melarang merokok di semua premis kerajaan. Jika semua pegawai awam mematuhi peraturan ini, sudah tentu majoriti akan berhenti merokok.

Larangan merokok di semua premis makan dan premis menjual bahan makanan dikuatkuasakan pada 1hb Januari 2019 melalui pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).

Bagaimanapun larangan merokok di restoran diperkenalkan dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 melarang merokok di mana-mana tempat makan berhawa dingin.

Peraturan-Peraturan Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 mensyaratkan semua majikan menjamin persekitan tempat kerja selamat untuk semua pekerja termasuk dari ancaman asap tembakau.

Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 (Pindaan 1997) melarang merokok di mana-mana tempat makan berhawa dingin dengan memansuhkan kawasan merokok.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 memutuskan tabiat merokok adalah haram mengikut pandangan Islam. Maka semua premis makanan halal seharusnya tidak lagi membenarkan perlakuan merokok oleh sesiapa sahaja.

Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 telah menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 yang melarang merokok di mana-mana tempat makan berhawa dingin.

Peraturan Kebersihan Makanan 2009 melarang semua pengendali makanan merokok di premis makan. Walaupun peraturan ini tertakluk ke atas semua pekerja pengendali makanan di premis, perlakuan merokok oleh pelanggan tetap menyumbang kepada pencemaran makanan di premis makan. Maka sewajarnya semua pihak tidak melakukan sebarang perlakuan yang menimbulkan risiko kepada kebersihan makanan di premis makanan.

Tata amalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 di bawah Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 mewajibkan majikan memastikan pekerja tidak terdedah kepada bahaya asap rokok di semua tempat kerja termasuk kedai makan dan restoran.

Maka pindaan 2018 kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 untuk melarang merokok di mana-mana tempat makan merupakan langkah wajar dengan memperluaskan tempat-tempat awam bebas asap rokok selaras dengan tuntutan di bawah FCTC serta peruntukan-peruntukan di bawah keselamatan pekerjaan dan juga kebersihan makanan.

Secara umumnya, bukan perokok dan perokok menyokong inisiatif ini. Pengamatan kita mendapati majoriti tempat makan mematuhi peraturan ini dengan menasihatkan pelanggan yang merokok dan memasang tanda larangan merokok. Memang masih ada perokok tegar yang masih didapati merokok di luar tumpuan ramai walaupun dinasihati pemilik premis.

Di samping memperhebat usaha pengautkuasaan, orang ramai juga harus memainkan tanggungjawab sosial untuk memberi kesedaran kepada semua supaya mematuhi peraturan-peraturan seperti larangan merokok, larangan parkir, larangan membuang sampah, larangan vandalisme, dan sebagainya untuk kesejahteraan semua.

Masyarakat juga harus mengetahui bahawa had larang merokok di premis adalah 3 meter dari cucur bumbung, manakala tempat makan terbuka adalah 3 meter dari kerusi akhir luaran.

Di Kuala Lumpur, PPKHT 2004 melarang merokok sepanjang laluan pejalan kaki berbumbung termasuk laluan kaki lima berbumbung sepanjang premis kedai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan larangan merokok turut menjangkau 3 meter dari bumbung laluan pejalan kaki.

Tabiat merokok mengakibatkan 20,000 kematian setahun di Malaysia. Ini boleh dielakkan dengan mudah sekali. Malaysia mensasarkan untuk mengurangkan tabiat merokok kepada 15% menjelang 2025 dan kurang dari 5% pada 2045. Dengan tabiat merokok pada tahap 23% kini pelaksanaan tempat awam bebas asap rokok harus dipatuhi oleh semua tanpa sebarang alasan lagi.

* Muhammad Sha’ani bin Abdullah AMP adalah Penyelaras, Kawalan Tembakau/ Inisiatif @SmokeFreeMY Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)   

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen