TAHUN 2019 menyaksikan industri media, khasnya media cetak, di negara ini berhadapan situasi mencabar dengan penutupan beberapa akhbar utama, selain pelaksanaan pelan rasionalisasi oleh syarikat-syarikat media yang melibatkan pengurangan tenaga kerja dalam skala besar-besaran.
Penutupan akhbar berbahasa Melayu tertua negara, Utusan Malaysia setelah 80 tahun beroperasi, dilihat antara episod paling duka yang mengisi lembaran sejarah industri media cetak negara.
Penerbitan kembar tabloidnya, Kosmo!, turut mengalami nasib yang sama.
Lebih 800 kakitangan hilang punca rezeki dalam sekelip mata apabila Lembaga Pengarah Utusan Melayu Berhad (Utusan) membuat keputusan menutup operasi syarikat itu pada 9 Okt, antara lain disebabkan syarikat itu tidak lagi mampu menjalankan perniagaan.
Syarikat berkenaan yang dihimpit masalah kewangan kritikal sejak beberapa tahun sebelum ini, ‘lumpuh’ apabila gagal membayar gaji pekerja mengikut masa, tidak dapat menjelaskan hutang selain berhadapan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang-pemiutang.
Situasi sedih dan mengejutkan itu bahkan turut ‘diratapi’ oleh orang ramai dan netizen berikutan akhbar itu memiliki nilai sentimental dan banyak merakam sejarah negara sejak zaman sebelum kemerdekaan.
Sementara itu, ditekan persaingan dalam era digital dengan media baharu dan media sosial yang menawarkan maklumat di hujung jari, turut mengalami nasib sama adalah akhbar vernakular Tamil Nesan, antara surat khabar tertua di Asia Tenggara.
Akhbar berbahasa Tamil yang menyasarkan masyarakat India itu menutup operasinya pada 1 Feb selepas mengusahakan percetakan selama 94 tahun, dengan isu pertama diterbitkan pada 24 Sept 1924.
Tahun ini, industri itu turut dikejutkan apabila syarikat media gergasi tanah air, Kumpulan Media Prima Berhad (Media Prima) pada 1 Nov, mengumumkan pelaksanaan transformasi perniagaan dan penstrukturan semula dalaman yang dijangka selesai pada suku pertama 2020.
Notifikasi rasmi kepada semua kakitangan terlibat dalam langkah rasionalisasi sumber manusia kumpulan itu telah diberikan pada 16 Dis lalu, dengan pelaksanaan transformasi perniagaan bagi fasa selanjutnya turut melibatkan pertukaran model perniagaan dan penstrukturan dalaman.
Situasi ini secara keseluruhannya dilihat agak menggusarkan. Seperti kata Tokoh Wartawan Johan Jaaffar, “industri ini punya masa depan yang malap, sukar dan tidak menentu”.
Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri A. Kadir Jasin berkata media arus perdana perlu lebih menyesuaikan diri dengan ‘persekitaran’ baharu setelah perubahan kerajaan berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14.
“Tahun 2019 adalah tahun membuat pilihan, setelah kerajaan berubah lebih 18 bulan, nampaknya media arus perdana masih belum mampu atau enggan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, ini menyebabkan mereka bukan sahaja tidak pulih malah ditolak terus oleh audiens.
“Dengan cabaran semakin meluas daripada media sosial dan media digital, media arus perdana terpaksalah menelan jadam untuk membuat penyesuaian dan seterusnya mendapatkan balik kepercayaan dan minat audiens,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pada masa yang sama, Kadir berkata institusti pengajian tinggi perlu mengkaji dan menyesuaikan semula kurikulum berkaitan kewartawanan agar lebih selari dengan perubahan semasa bagi membolehkan penuntut bidang kewartawanan mendapat peluang pekerjaan. – Bernama, 29 Disember, 2019.
Komen