PENGUNJUNG mungkin dikenakan bayaran untuk masuk ke Taman Tasik Titiwangsa sekiranya masalah vandalisme berterusan, menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Penolong Pengarah Kanan (Arkitek) DBKL Noor Fazlina Rosley berkata itu antara cadangan yang dilontarkan beberapa pihak berkaitan untuk mencegah tindakan tidak bertanggungjawab itu.
“Banyak sangat cadangan di peringkat atasan malah ada kementerian yang beri cadangan cara untuk mengajar pengunjung agar berhemah adalah dengan kenakan caj.
“Kita sebenar bukan suka untuk kenakan caj bagi kemudahan awam. Ini adalah fasiliti kerajaan bukannya swasta.
“Kita caj kalau swasta yang uruskan tapi ini kita buat sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Mengulas lanjut, Noor Fazlina berkata DBKL juga bercadang untuk memasang pagar di sekeliling kawasan taman bagi menjaga keselamatan pengunjung dan mengelak kes kecurian.
“Bila sudah pasang pagar baru boleh fikirkan hendak kenakan bayaran atau tidak. Pada masa sama, kita akan pasang CCTV, butang panik dan pembesar suara. Semuanya masih dalam perbincangan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad mengarahkan kawalan keselamatan dan liputan kamera litar tertutup dipertingkat.
Cadangan itu timbul selepas banyak kejadian dan perbuatan jelik dikesan dilakukan ke atas kemudahan tersebut sebaik dibuka pada 15 Disember selepas kerja naiktaraf selama setahun.

Antara sampah sarap ditinggalkan pengunjung di kawasan itu termasuk lampin kotor yang ditemui di taman permainan. Malah terdapat juga kes pengunjung meninggalkan najis di tempat terbuka.
Selain itu, taman di bekas tapak lombong itu juga menjadi tajuk berita apabila pengunjung didapati merosakkan tanaman dan menggunakan basikal yang disewa oleh pengusaha tidak berlesen.
Pengunjung seperti Mohamad Jabar Rusli, 29, ketika ditemui di Taman Tasik itu kecewa dengan perbuatan vandalisme dan pencemaran tersebut.
“Kita sudah masuk 2020. Kalau buat macam ini, macam kita tak bertamadun,” kata juruteknik yang merupakan bapa kepada dua anak itu.
Sependapat dengannya Zulkifli Hassan, 42, yang berkata taman riadah itu perlu dihargai selepas setahun ia ditutup untuk dibangunkan.
“Kita perlu lebih menghargailah dengan apa yang disediakan. (Kita) lama tunggu tapi bila buka tak dihargai. Tak baiklah buang sampah merata-rata,” kata mekanik yang bekerja di Klang itu.

Selain itu terdapat juga pengunjung seperti Sri yang mengadu kemudahan seperti tong sampah tidak banyak disediakan dan kedudukan tandas juga tidak strategik.
Namun ia bukanlah alasan untuk melakukan vendalisme, kata pemandu e-hailing itu yang bersantai di taman tersebut bersama keluarganya.
“Itu bukan alasan. Kita kenalah cari tong sampah di sini. Dan kalau boleh jangan buang ke lantailah. Kita sudah hendak masuk tahun 2020,” katanya.
Antara naiktaraf melibatkan kos hampir RM100 juta itu melibatkan pembinaan taman tema air, jeti, rumah bot dan pusat informasi yang mendapat reka bentuk lebih kemas dan moden.
Selain itu, kemudahan aktiviti air berkayak atau bot kayuh juga diperkenal dan pengunjung turut berpeluang mengadakan majlis di kawasan tersebut.
DBKL juga membina laluan khas berwarna merah untuk penunggang basikal berwarna dan laluan berwarna hitam untuk pejalan kaki dan berlari di sekeliling taman tersebut.
Kerja-kerja berkenaan merupakan salah satu daripada pakej projek Sungai Nadi Kehidupan. – 30 Disember, 2019.
Komen