Warga Palestin maut, tentera Israel tembak kenderaan 'suspek' 


Pihak berkuasa Israel berkata kebanyakan warga Palestin yang dibunuh membawa pisau, senjata api atau melancarkan serangan melanggar dengan kenderaan. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2017.

PASUKAN keselamatan Israel melepaskan tembakan kepada sebuah kenderaan ‘suspek’ di Tebing Barat menyebabkan seorang warga Palestin terbunuh manakala seorang lagi cedera, kata tentera Israel dan kementerian kesihatan Palestin. 

Pihak tentera zionis dalam satu kenyataan berkata, kenderaan terbabit menghampiri tentera Israel dalam keadaan mencurigakan berdekatan penempatan Yahudi Halamish dan perkampungan Palestin, Nabi Saleh. 

“Tentera terbabit menganggap kenderaan itu sebagai satu ancaman dan secara mengejut melepaskan tembakan ke arah kenderaan terbabit untuk menghentikannya,” katanya. 

Kementerian kesihatan Palestin berkata seorang lelaki yang maut dikenali sebagai Mohammed Mussa, 26 tahun. 

Kakaknya, Latifa, 33 cedera di bahagian bahu akibat terkena tembakan dan kini menerima rawatan di hospital. 

Bercakap kepada pemberita, Latifa berkata mereka dalam perjalanan untuk menjalankan tugas apabila tentera Israel mula melepaskan tembakan. 

“Terdapat dua tentera di sebalik tembok batu di jalan raya itu. Mereka secara tiba-tiba mula melepaskan tembakan ke arah kami tanpa sebarang amaran. Abang saya cuba melindungi saya,” katanya. 

“Selepas itu saya nampak dia bernafas, namun tentera itu meninggalkannya.”

Dia disahkan mati selepas dibawa ke hospital Israel. 

Tentera Israel berkata tiada anggota tentera cedera dan “kejadian itu sedang disiasat”.

Pergolakan mula tercetus sejak Oktober 2015 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 303 rakyat Palestin atau Arab Israel, dua warga Amerika, dua warga Jordan dan seorang Eritrean, warga Sudan dan Briton, menurut angka kematian daripada AFP. 
 
Pihak berkuasa Israel berkata kebanyakan warga Palestin yang dibunuh membawa pisau, senjata api atau melancarkan serangan melanggar dengan kenderaan.

Yang lain ditembak mati dalam protes dan pertempuran, manakala sebahagian lagi terbunuh dalam serangan udara tentera Israel di Jalur Gaza. 

Dalam kejadian berasingan pada Isnin, pihak tentera Israel meletupkan terowong yang merentasi Jalur Gaza ke Israel dan ia didakwa digunakan untuk melancarkan serangan, menyebabkan tujuh pejuang Palestin terbunuh. – AFP, 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen