200 dikhuatiri maut dalam runtuhan terowong di tapak ujian nuklear Korea Utara


Pentadbiran meteorologi Korea memantau gegaran yang berlaku pada 3 September lalu yang dipercayai berpunca daripada ujian nuklear keenam yang dijalankan Korea Utara. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2017.

LEBIH 200 orang dikhuatiri maut selepas terowong di tapak ujian nuklear Korea Utara runtuh selepas ujian terakhir senjata itu, lapor agensi berita Jepun hari ini. 

Terowong terbabit runtuh di Punggye-ri pada awal September, sehari selepas Korea Utara menjalankan ujian nuklear bawah tanah keenam dan yang terbesar pada 3 September, lapor TV Asahi yang memetik sumber Korea Utara.

Kira-kira 100 pekerja terlibat dalam tragedi runtuhan itu. Satu lagi runtuhan berlaku ketika operasi menyelamat, menyebabkan 200 dikhuatiri terbunuh keseluruhannya, kata stesen penyiaran Jepun itu. 

Kemalangan itu tercetus akibat ujian senjata berkenaan, tambah TV Asahi. Pakar pernah memberi amaran ujian bawah tanah boleh menyebabkan runtuhan gunung dan kebocoran radiasi berhampiran sempadan China. 

Ujian terbaru - yang keenam di tapak ujian itu sejak 2006 - mencetuskan tanah runtuh di kawasan letupan, menurut gambar satelit yang dirakam sehari selepas itu.

Gambar yang disiarkan laman web 38 North menunjukkan perubahan permukaan Punggrye-ri di mana tanahnya terangkat ke udara akibat gegaran. 

Tanah runtuh turut berlaku, malah letupan itu turut mencetuskan gempa bumi pada magnitud 6.3, menurut Pemerhati Geologi Amerika Syarikat, diikuti beberapa gegaran berukuran 4.1 magnitud beberapa minit kemudian. 

Jepun menganggarkan letupan daripada ujian itu yang didakwa Korea Utara bom hidrogen berukuran 120 kilotan, lapan kali lebih besar berbanding letupan Hiroshima pada 1945.

Sangat luar biasa untuk Korea Utara mengakui berlaku kemalangan besar, terutamanya apaila melibatkan program nuklear.

Jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, Lee Eugene berkata: “Kami sedia maklum berhubung laporan itu tetapi tidak tahu menahu mengenainya.” – AFP, 31 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen