TINDAKAN Israel meletupkan terowong di sepanjang Semenanjung Gaza, mengakibatkan 11 orang terkorban dan Hamas mendakwa ia boleh mencetuskan keadaan berbahaya terhadap rakyat Palestin, selain sebagai percubaan mensabotaj usaha memulihkan perpaduan di negara berkenaan.
Angkatan Tentera Israel (IDF) dalam satu kenyataan berkata, terowong dari bandar Khan Younis di Gaza hingga ke Kibbutz Kissufim di Israel, dipercayai digali selepas 2014.
Jurucakap IDF, Avichay Adraee berkata, letupan berlaku di dalam wilayah Israel.
Letupan tersebut, mengakibatkan 11 Palestin terbunuh dan 12 lagi cedera, lapor stesen televisyen Channel 2 Israel.
Bekas komander unit IDF Yahalom, Kolonel Atai Shelach, yang bertanggungjawab memusnahkan terowong berkenaan berkata, ia bukan “satu tekaan melulu dengan mengandaikan terdapat banyak terowong lain.”
“Terdapat pelbagai peringkat operasi, ada yang baru dimulakan, ada yang sedang dilaksanakan dan sebahagiannya lagi telah hampir menyeberangi sempadan Israel. Apabila mengesannya tindakan paling mudah ialah memusnahkannya,” katanya.
Kementerian Kesihatan Gaza, mengenal pasti empat yang terkorban ialah pejuang Jihad Islam dan dua lagi anggota Hamas.
“Ini adalah pembunuhan beramai-ramai,” kata pemimpin Islam Jihad, Khaled al-Batash.
Insiden berlaku menjelang usaha perdamaian Palestin yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang. – Bernama, 31 Oktober, 2017.
Komen