Elaun kritikal: Siapa tidak bercakap betul?


Noor Azam Shairi

Isu pemansuhan Elaun Kritikal untuk beberapa perkhidmatan seperti pegawai perubatan dan jururawat menjadi tumpuan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

TUJUH hari selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan tiada lagi Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) untuk rekrut baru bagi 33 jawatan yang bukan lagi kritikal, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menangguhkan pelaksanaannya serta merta. 

Keputusan itu akan dibincangkan semula oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat pertamanya bagi tahun 2020, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dijadual pada Rabu ini. 

Syed Saddiq memaklumkan keputusan Dr Mahathir melalui mesej video di Twitter semalam, selepas bercakap sendiri dengan perdana menteri.

Dua hari sebelumnya, Syed Saddiq menyuarakan bantahan terbuka terhadap pengumuman JPA. Sepatutnya elaun kepada menteri dan ahli politik yang dikaji semula, bukannya elaun untuk doktor dan jururawat muda, katanya.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pula mengarahkan timbalannya dan pegawai kanan di kementerian berbincang dengan JPA. Bincang apa lagi sekarang? Berbincang sebelum atau selepas buat keputusan?

Sampai sekarang, satu perkara tidak begitu jelas: bagaimana kerajaan mencapai keputusan menghentikan pemberian elaun kritikal untuk 33 jawatan dalam sektor perkhidmatan awam?

Apa prosesnya, dan apakah proses itu dipatuhi? Ada kelulusan kabinet atau tidak? Kenapa menteri menyebut isu ini perlu “dibawa sekali lagi” ke kabinet? Sekali lagi ertinya pernah ada sebelum ini.

Yang terbayang daripada bantahan dan reaksi menteri kabinet dan penjelasan JPA ialah masing-masing seperti menyalahkan antara satu sama lain.

Menurut JPA, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 dikeluarkan selepas ia mengkaji kedudukan perjawatan dalam perkhidmatan awam. Kajian itu diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, dan telah dimaklumkan juga kepada Jemaah Menteri, kata JPA.

Seorang pegawai di Putrajaya menulis di media sosial mendedahkan apa yang kononnya berlaku, yang bagaimanapun disebut sebagai maklumat sulit daripada minit mesyuarat “yang tidak boleh ditunjuk”.

Isu Elaun Kritikal menimbulkan satu lagi persoalan penting, apa sebenarnya proses membuat keputusan kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

Malah ada juga tersebar maklumat, juga daripada pegawai menteri, kononnya elaun kritikal itu sepatutnya diputuskan pada Disember 2020, dan bukan sekarang. Kertas kabinet mengenai perkara itu kononnya juga tidak dijelaskan dengan terperinci kepada kabinet.

Persoalannya: bagaimana suatu keputusan yang melibatkan banyak pihak dan yang boleh diteka akan menimbulkan kemarahan boleh lepas begitu saja?

Ini berbalik kepada pertanyaan awal: Apa prosesnya dan apakah proses itu dipatuhi? Jika tidak dipatuhi, kenapa?

Soalnya juga, siapa bercakap betul? Siapa yang main wayang?

JPA dua kali membuat penjelasan kepada umum dalam masa 48 jam, sejak keputusannya jadi bualan hangat di media sosial dan kemudian jadi lebih heboh selepas Syed Saddiq mencadangkan elaun menteri dipotong dan bukannya elaun penjawat awam.

Dalam kedua-dua kenyataan itu, JPA menjelaskan konsep elaun – bahawa ia bukan sesuatu yang kekal, diberi mengikut keperluan dan boleh ditarik balik apabila tidak lagi sesuai dengan keadaan.

Menurut JPA, kajiannya menunjukkan kerajaan akan terpaksa membelanjakan sehingga RM1.24 bilion pada 2022 sekiranya elaun itu dikekalkan. Kajian juga menunjukkan jawatan yang dianggap kritikal sebelum ini, sehingga elaun khas itu diperkenalkan, sekarang sudah tidak kritikal lagi. 

Dalam kenyataan media yang kedua, JPA menyenarai bilangan keperluan jawatan beberapa skim perkhidmatan serta jumlah permohonan untuk mengisi kekosongan. Maklumat itu jelas. Ada lebihan antara permohonan dan keperluan sehingga menjadikan jawatan tersebut tidak lagi kritikal.

Pembatalan elaun bukan perkara yang pelik. Elaun diberi atas alasan tertentu. Apabila alasan itu tidak lagi berlaku, elaun tersebut tidak ada alasan untuk kekal. Misalnya, pada 2014 Kementerian Pendidikan menarik balik Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) selepas kerajaan memutuskan Sains dan Matematik tidak lagi diajar dalam Bahasa Inggeris.

Jadi, apakah dalam semua penjelasan JPA itu tidak ada yang tidak betul? Kalau betul, apa masalahnya dengan pekeliling JPA bertarikh 20 Disember lalu?

Tetapi semua itu sekarang mungkin tidak lagi penting. Pekeliling JPA sudah digantung. Kabinet akan membincangkannya semula minggu depan.

Apa yang pasti, dan nampak jelas, kerajaan ini ada kecenderungan untuk buat gempar. Umum keputusan. Ada pihak yang marah. Kaji semula keputusan. Batalkan keputusan.

Ini bukan keputusan pertama kerajaan yang disemak semula kerana ada bantahan umum, selepas dipersetujui dan selepas dibuat pengumuman rasmi.

Mesej besarnya apa? Dari satu keputusan membawa kepada satu keputusan lain yang ditarik balik, kerajaan ini menghantar isyarat bahawa ia tidak tegas dan ia tidak berani untuk tidak popular.

Soalnya, sampai bila?

Kerajaan ini dan Pakatan Harapan tidak harus lupa realiti semasa. Naratif politik Malaysia – dan di mana-mana belahan dunia sekalipun sekarang ini – dibina dengan dengan emosi sehingga mengabaikan fakta.

Apabila Jemaah Menteri bersidang semula minggu depan dan membincangkan isu elaun kritikal yang kontroversi ini, ia harus jelas, tegas dan sedar diri. Ia harus membuat keputusan atas fakta, dan bukannya terbuai dengan emosi.

Isunya bukan elaun semata-mata. Isunya perjawatan dan penggajian – yang munasabah dan setara dengan keadaan semasa. 

Kenapa doktor dan jururawat misalnya lebih rela bekerja di sektor swasta atau di luar negara berbanding di hospital dan klinik kerajaan?

Kenapa doktor dan jururawat mengeluh beban kerja melampau dan tidak cukup sokongan? – 28 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen